Dokumen tuntutan pajakan Pulau Pinang siap, tunggu masa sesuai - Sanusi

Iklan
Muhammad Sanusi

ALOR SETAR – Kerajaan Kedah telah melengkapkan semua dokumen sejarah, kajian dan asas perundangan berkaitan tuntutan semakan kadar bayaran pajakan Pulau Pinang dan kini hanya menunggu masa yang sesuai untuk bergerak ke fasa seterusnya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, segala persediaan berkaitan tuntutan itu telah disempurnakan oleh pasukan penyelidik dan perundangan negeri selepas melalui proses kajian yang menyeluruh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil kajian tersebut turut dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan mendapat persetujuan untuk dijadikan asas kepada tuntutan berkenaan.

"Saya berpuas hati dengan apa yang telah disediakan oleh pasukan penyelidik dan pasukan perundangan kita. Perkara itu juga telah dibentangkan kepada Exco-Exco dan mereka turut berpuas hati.

Iklan

"Semua dokumen sudah siap, cuma kita sedang mempertimbangkan masa yang paling sesuai untuk mengemukakannya," katanya dalam siaran podcast pada Selasa.

Pada 5 Julai lalu, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah supaya kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang mengikut kadar semasa berdasarkan semangat dan maksud asal perjanjian.

Iklan

Baginda bertitah, bayaran pajakan yang diterima kerajaan Kedah ketika ini jauh lebih rendah berbanding nilai yang sewajarnya dan hak serta kedaulatan Kedah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati oleh semua pihak.

Titah tersebut dizahirkan ketika Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-84 di Istana Anak Bukit di sini.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri perlu mengambil kira keadaan semasa sebelum menyerahkan dokumen berkenaan bagi memastikan proses dapat dijalankan dalam suasana yang lebih kondusif.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan keseluruhan strategi yang akan digunakan kerana melibatkan aspek perundangan.

"Kita kena fikir sama ada masa sekarang sesuai ataupun kita tunggu sedikit lagi. Kalau dibuat sekarang, kita tahu akan ada pihak yang mempertahankan pendirian masing-masing.

"Kita mahu proses ini berlangsung dalam keadaan yang lebih neutral supaya segala penemuan dan hujah dapat dinilai secara adil. Ada beberapa kaedah yang akan digunakan, tetapi saya tidak boleh dedahkan semuanya sekarang," ujarnya.

Beliau berkata, antara saluran yang sedang dipertimbangkan ialah tindakan melalui mahkamah, membawa perkara itu ke Majlis Raja-Raja serta rundingan bersama kerajaan Persekutuan.

Mengulas dakwaan bahawa kerajaan negeri hanya mahu mendapatkan bayaran tambahan daripada kerajaan Persekutuan, Muhammad Sanusi menegaskan persepsi itu tidak tepat.

Menurutnya, usaha tersebut bukan bertujuan memperoleh duit percuma, sebaliknya bagi memastikan kadar bayaran pajakan dilihat semula mengikut nilai yang sewajarnya selepas tidak pernah disemak sejak 1786.

"Ini bukan soal duit percuma. Kita hanya menuntut hak Kedah. Kalau hak itu diiktiraf, bayarlah mengikut kadar yang sepatutnya seperti yang dititahkan Sultan Kedah," katanya lagi.

Beliau berkata, usaha yang sedang dijalankan oleh kerajaan negeri juga memberi peluang kepada rakyat memahami semula sejarah hubungan Kedah dengan Pulau Pinang berdasarkan dokumen-dokumen lama yang ditemui.

Katanya, pasukan penyelidik kerajaan negeri berjaya menemukan pelbagai dokumen sejarah berusia lebih 200 tahun yang sebelum ini jarang diketengahkan kepada umum.

"Kita bukan sahaja mahu menuntut hak, tetapi dalam masa sama mendidik rakyat mengenai sejarah negeri. Banyak dokumen lama yang masih wujud dan kini diketengahkan semula," tambahnya.

Muhammad Sanusi berkata, tuntutan negeri tersebut juga adalah berasaskan kepada isu yang masih belum diselesaikan sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Jelasnya, ketika itu keutamaan adalah mendapatkan kemerdekaan terlebih dahulu, kemudian barulah isu pajakan Pulau Pinang dirundingkan semula.

“Perkara itu turut direkodkan dalam Hansard dan selepas merdeka, isu ini terus senyap. Saya rasa sejarah ini sangat penting kerana ia menjadi asas kepada tuntutan yang kita kemukakan hari ini,” katanya.

Menurut beliau, bayaran pajakan berkenaan adalah tanggungan kerajaan Persekutuan sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 167 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara tersebut menyentuh kewajipan Persekutuan terhadap perjanjian atau triti yang mengikat negeri-negeri sebelum merdeka.

“Kadar bayaran itu bermula pada nilai RM10,000 sebelum dinaikkan kepada RM10 juta setahun ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, namun tidak pernah disemak semula selepas itu.

“Tahun depan genap 70 tahun, tetapi tidak pernah dibincangkan semula. Kenapa dibiarkan? Sebab tidak ada orang mahu bercakap mengenainya,” ujarnya.