PUTRAJAYA – Pemain industri petroleum menggesa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) segera memperjelaskan pelaksanaan prosedur deklarasi K8 yang didakwa menimbulkan kekeliruan dalam kalangan mereka sehingga menjejaskan kelancaran operasi dan urusan perdagangan di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor.
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R Jeyenderan berkata, penjelasan rasmi amat diperlukan bagi memastikan semua pihak mempunyai tafsiran sama terhadap pelaksanaan prosedur tersebut, khususnya membabitkan pengendalian kargo petroleum selepas dipunggah ke dalam tangki simpanan.
Beliau berkata, pihaknya hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa bagi memaklumkan perkembangan terkini selepas menghantar e-mel rasmi kepada Ketua Pengarah Kastam untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.
Menurutnya, tindakan itu dibuat susulan laporan yang dikemukakan kepada SPRM sebelum ini berhubung dakwaan percanggahan antara dokumen bil muatan (Bill of Lading) dengan pergerakan fizikal kargo petroleum di sebuah terminal di Pelabuhan Tanjung Langsat.
"Saya telah memaklumkan kepada SPRM bahawa saya menghantar e-mel kepada Kastam bagi mendapatkan penjelasan rasmi.
"Apa yang saya perlukan ialah kepastian mengenai pelaksanaan prosedur K8 selepas kargo petroleum dipunggah ke dalam tangki simpanan," katanya kepada media pada Selasa.
Jeyenderan berkata, antara persoalan yang dikemukakan ialah status kargo yang diisytiharkan di bawah deklarasi K8 selepas memasuki sistem tangki simpanan, termasuk sama ada kargo itu perlu terus diasingkan sepanjang tempoh penyimpanan.
Katanya, beliau turut meminta penjelasan mengenai kaedah pemantauan oleh Kastam selepas kargo dipunggah ke tangki simpanan, mekanisme kebolehkesanan (traceability) antara dokumentasi dan kargo fizikal serta tatacara memastikan kargo yang dieksport menepati deklarasi asal.
"Saya tidak membuat sebarang tuduhan terhadap Kastam atau mana-mana pihak. Saya hanya mahu mendapatkan penjelasan rasmi supaya industri memahami dengan jelas pelaksanaan sistem K8 mengikut kehendak undang-undang," katanya.
Beliau berkata, ketidakpastian mengenai prosedur itu perlu diselesaikan segera kerana ia memberi kesan langsung kepada operasi harian industri, termasuk urusan penghantaran kargo, dokumentasi perdagangan, pembiayaan, perlindungan insurans dan pematuhan kawal selia.
"Setiap kelewatan mendapatkan penjelasan memberi implikasi kepada urusan perniagaan. Pemain industri memerlukan kepastian supaya operasi dapat dijalankan mengikut prosedur yang jelas.
"Malaysia sedang memperkukuh kedudukannya sebagai hab penyimpanan dan pemindahan petroleum serantau. Justeru, sebarang kekeliruan berkaitan pelaksanaan prosedur perlu diperjelaskan segera bagi mengekalkan keyakinan pemain industri dan pelabur," katanya.
Beliau berharap Kastam dapat memberikan maklum balas rasmi terhadap semua persoalan yang dibangkitkan supaya tidak timbul perbezaan tafsiran mengenai pelaksanaan deklarasi K8.
"Jika prosedur sedia ada sememangnya membenarkan amalan tertentu, biarlah ia dijelaskan secara rasmi. Jika terdapat ruang penambahbaikan, perkara itu juga wajar diteliti bagi memperkukuh tadbir urus dan ketelusan sistem," katanya.
Menurut Jeyenderan, penjelasan rasmi daripada Kastam bukan sahaja penting kepada pemain industri, malah mampu mengelakkan salah tafsir terhadap prosedur sedia ada serta meningkatkan keyakinan terhadap sistem kawal selia negara.
Beliau menambah, pihaknya akan terus memberi kerjasama penuh kepada SPRM dan berharap penjelasan Kastam dapat merungkai isu yang dibangkitkan.
Jelasnya, pencerahan itu signifikan demi kepentingan industri serta memelihara reputasi Malaysia sebagai hab perdagangan petroleum dan logistik maritim yang diyakini di peringkat antarabangsa.