SHAH ALAM - Seorang ibu sanggup melepaskan kerjaya sebagai pembantu klinik di sebuah hospital swasta demi memberi sepenuh perhatian kepada anak sulungnya yang mengalami pendarahan otak ketika berada di bawah jagaan pengasuh pada usia lima bulan.
Suhaila Hashim berkata, kehidupan keluarga berubah sepenuhnya apabila Aura Medina Muhammad Syafi, 2, dimasukkan ke hospital pada Julai 2024 selepas pengasuh memaklumkan bayi itu mengalami sawan.
Menurutnya, sebelum kejadian, Aura Medina tidak pernah mengalami sawan, demam atau sebarang masalah kesihatan.
"Sebaik tiba di hospital, doktor memaklumkan anak saya mengalami pendarahan otak. Masa itu umur dia baru lima bulan lebih.
"Selepas keluar hospital, kehidupan kami memang berubah. Sampai sekarang dia masih menjalani rawatan dan berada di bawah pemantauan doktor kerana sawannya masih belum dapat dikawal sepenuhnya," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Suhaila, kesan kecederaan itu menyebabkan Aura Medina hilang keupayaan menelan dan terpaksa menerima susu melalui tiub untuk tempoh yang panjang.
Bagaimanapun, selepas menjalani terapi secara berterusan, anaknya kini sudah mula menunjukkan perkembangan apabila mampu mengambil makanan bertekstur halus dalam kuantiti yang sedikit.
Wanita dari Pulau Pinang itu turut memaklumkan, meskipun terdapat perkembangan positif, Aura Medina masih kerap diserang sawan yang memberi kesan kepada proses pembelajaran dan perkembangan dirinya.
"Kalau hari ini dia belajar pegang sesuatu, esok dia boleh lupa semula sebab sawan itu mengganggu perkembangan otaknya.
"Tetapi sekarang dia dah boleh mengeluarkan suara, ketawa dan menjerit. Cuma untuk berpusing badan atau duduk sendiri masih belum boleh," katanya.
Sejak kejadian itu, Suhaila mengambil keputusan berhenti kerja bagi menjaga Aura Medina sepenuh masa kerana anaknya memerlukan perhatian khusus, termasuk pemberian susu melalui tiub dan pemantauan rapi setiap kali diserang sawan.
Malah menurutnya, dia dan suami masih berulang-alik ke hospital bagi memastikan Aura Medina dapat menjalani rawatan susulan termasuk pemeriksaan mata, terapi pertuturan dan fisioterapi.
"Aura kini sangat memerlukan 'standing frame' untuk kegunaan terapi dan proses pemulihannya. Anggaran kos sekitar RM4,000 hingga RM8,000.
"Saya tak pernah minta bantuan secara khusus, kalau ada orang nak membantu, kami sangat bersyukur," katanya.