Skrin awam papar adegan lucah cetus kontroversi

Iklan
Insiden itu mencetuskan kecaman awam kerana dianggap tindakan tidak bermoral. Foto Agensi

MELAWI - Penduduk Kabupaten Melawi, Kalimantan Barat dikejutkan dengan paparan kandungan tidak senonoh yang muncul pada videotron di kawasan Bundaran Nanga Pinoh atau dikenali sebagai Bundaran Naruto pada Isnin.

Paparan tersebut sempat menarik perhatian orang ramai sebelum dihentikan oleh pihak berkaitan.

Iklan
Iklan

Pemerintah Kabupaten Melawi menerusi Dinas Komunikasi dan Informatika (Diskominfo) segera mengambil tindakan dan menjalankan siasatan awal berhubung kejadian itu.

Pemangku Ketua Bidang E-Government dan Persandian Diskominfo Melawi, Sastra Irawan berkata, pasukan teknikal segera dikerahkan selepas menerima laporan daripada orang awam.

Iklan

Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat petunjuk berlakunya akses tanpa kebenaran terhadap akaun pengurusan videotron berasaskan sistem awan.

"Kami masih belum dapat mengesahkan punca sebenar kejadian atau mengenal pasti individu yang bertanggungjawab. Sebagai langkah pencegahan, kami telah mengawal selia akses akaun pengurusan, menukar maklumat akses, memeriksa konfigurasi peranti dan memperkukuh sistem keselamatan bagi mengelakkan kejadian sama berulang," jelasnya.

Iklan

Pemangku Setiausaha Daerah Melawi, Joko Wahyono, menegaskan paparan tersebut bukan bahan rasmi kerajaan daerah. Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sebelum siasatan selesai.

Insiden itu mencetuskan kecaman awam kerana dianggap tindakan tidak bermoral.

Orang ramai mendesak pihak polis menyiasat kes tersebut sehingga selesai dan mengenakan tindakan terhadap pelaku berdasarkan Undang-Undang Pornografi Indonesia yang membawa hukuman penjara sehingga 12 tahun serta denda sehingga 6 bilion rupiah (RM1.36 juta).

Pihak berkuasa turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan rakaman atau tangkapan layar imej tidak senonoh berkenaan bagi mengelakkan kesan lebih buruk terutamanya terhadap kanak-kanak. - Agensi