'UMNO tidak pernah tutup pintu penyatuan Melayu' - Razlan

Iklan
Razlan (kanan) dalam program Berani Semuka Sinar Harian bertajuk 'Seteru Jadi Kawan, Kawan Jadi Seteru: Politik Matang atau Huru-hara', yang turut disertai (dari kiri) Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Hasbie Muda dan Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara (Wawasan), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

SHAH ALAM - UMNO tidak pernah menutup pintu terhadap usaha menyatukan orang Melayu dan Islam, termasuk membabitkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) berasaskan matlamat memperkukuh kedudukan bangsa serta negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Razlan Rafii menjelaskan, usaha itu tidak seharusnya terus dibelenggu dengan pertelingkahan politik lampau kerana generasi hari ini perlu melihat kepentingan lebih besar demi masa depan negara serta kepentingan orang Melayu.

Iklan
Iklan

"Pelbagai episod yang pernah berlaku sebelum ini termasuk isu 'Amanat Hadi' dan perpecahan dalam masyarakat Melayu perlu dilihat sebagai sejarah yang tidak wajar diheret berpanjangan.

"Kita kena faham, selagi mana kita nampak titik pertemuan untuk kita bersama, kita kena perjuangkan perkara itu kerana itulah yang akan menjamin masa depan kita.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam program Berani Semuka Sinar Harian bertajuk 'Seteru Jadi Kawan, Kawan Jadi Seteru: Politik Matang atau Huru-hara', yang turut disertai Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Hasbie Muda dan Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara (Wawasan), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Razlan (kanan) dalam program Berani Semuka Sinar Harian bertajuk 'Seteru Jadi Kawan, Kawan Jadi Seteru: Politik Matang atau Huru-hara', yang turut disertai (dari kiri) Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Hasbie Muda dan Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara (Wawasan), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Iklan

Mengulas gesaan supaya Pas menarik balik Amanat Hadi yang pernah diucapkan Presiden Pas itu di Banggol Peradong, Terengganu pada April 1981, Razlan menegaskan, perkara itu diserahkan kepada ketentuan ALLAH SWT dan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha mencari titik persefahaman.

Malah beliau menjelaskan, banyak perkara yang berlaku pada masa lalu termasuk kewujudan dua imam, isu kenduri dan perpecahan dalam masyarakat Melayu tidak sepatutnya terus dijadikan asas permusuhan politik.

"Hari ini zaman kita yang muda-muda, takkan kita nak heret perkara-perkara itu sehingga menyebabkan orang Melayu terus bergaduh.

"Orang Melayu kena fikirkan negara ini satu-satunya tanah Melayu. Kita perlu cari jalan untuk bersatu," ujarnya.

Sementara itu, Razlan turut mengingatkan UMNO tetap mempertahankan pendiriannya terhadap perkara yang dianggap sebagai 'garisan merah' dalam Kerajaan Perpaduan.

Tegas beliau, parti itu menyertai kerajaan berasaskan persefahaman yang antaranya menjamin kedudukan Raja-Raja Melayu dan agama Islam tidak dipertikaikan.

"Sekiranya terdapat mana-mana pihak melangkaui perkara tersebut, UMNO berhak menegur dan membidas demi mempertahankan asas yang telah dipersetujui.

"Bila garisan merah itu dilangkah, salahkah kalau UMNO membidas semula? Bagi saya, tidak salah kerana perkara itu telah dipersetujui sejak awal pembentukan Kerajaan Perpaduan," jelasnya.