KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Tinggi pada Selasa bahawa beliau percaya bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai peranan dalam membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd yang ditubuhkannya, mendapatkan projek di bawah Program Jana Wibawa.
Pengarah syarikat Metrasys Sdn Bhd Lian Tan Chuan, 55, berkata, ini berikutan syarikat Nepturis memenangi tender pra kelayakan pada 12 Januari 2022 bagi Projek Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Selangor, selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) mengeluarkan surat setuju terima (SST).
"Pada 16 Januari 2022, saya meminta Rizman (Mohd Rizman Akum Khan) untuk sediakan cek daripada Nepturis berjumlah RM1 juta untuk dibayar kepada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Kemudian saya serahkan cek ini kepada Datuk Azman (Datuk Azman Yusoff) di pejabatnya sendiri untuk beliau uruskan penyerahan cek kepada mana-mana pemimpin Bersatu atau depositkan cek itu di bank," katanya.
Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata Azman yang merupakan Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera dan seorang ahli Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memberitahu beliau bahawa kerajaan telah meluluskan Program Jana Wibawa.
Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan Muhyiddin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.
Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengenai bagaimana saksi itu berani membuat sumbangan RM1 juta kepada Bersatu, Lian menjawab"lepas kami membuat kira-kira projek itu ada untung".
Disoal Wan Shaharuddin mengapa Lian membuat sumbangan kepada Bersatu dan saksi itu berkata"sudah janji apabila dapat Surat Setuju Terima (SST) kami kena buat sumbangan".
Wan Shaharuddin: RM1 juta adalah satu jumlah yang besar? Lian: Ya, sangat besar kerana jumlah besar itu boleh jadikan modal untuk sesuatu projek.
Wan Shaharuddin: Dalam kes ini, sumbangan kepada Bersatu adakah suatu reward atau derma semata-mata? dan Lian menjawab"Saya rasa ia adalah suatu balasan".
Wan Shaharuddin: Bezakan maksud derma dan balasan (reward) dan Lian menjawab,"Derma bermaksud pemberian tanpa dapat apa-apa balasan, tidak terikat dan diberi secara sukarela manakala balasan adalah bagi mendapatkan sesuatu”.
Berhubung sumbangan RM1 juta itu, Lian berkata beliau memberikan sumbangan tersebut atas permintaan Azman berikutan syarikat Nepturis dianugerahkan projek di bawah Jana Wibawa melalui surat permohonan disokong oleh Muhyiddin selaku Perdana Menteri dan Presiden Bersatu pada ketika itu.
"Saya percaya jika surat permohonan syarikat saya tidak disokong oleh Tan Sri Muhyiddin dan tidak diproses oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO), sudah tentu syarikat saya tidak akan berjaya melalui proses penilaian di Kementerian Kewangan (MOF) dan seteruskan berjaya dianugerahkan projek ini oleh pihak JKR.
"Semasa memohon projek IPD Klang Utara ini, saya menggunakan bantuan Adam Radlan (Adam Radlan Adam Muhammad) untuk mendapatkan minit sokongan daripada Tan Sri Muhyiddin bagi permohonan projek oleh syarikat saya," katanya.
Mengenai pertemuannya dengan Adam Radlan, Lian berkata Azman telah memperkenalkan beliau dengan Adam Radlan di Publika pada Disember 2020 dan memaklumkan Adam Radlan mempunyai hubungan rapat dengan Muhyiddin yang boleh membantu syarikatnya mendapatkan projek.
Saksi itu berkata, Adam Radlan yang juga rakan golf kepada Muhyiddin memintanya untuk menyediakan surat permohonan kepada Muhyiddin bagi menjalankan projek itu secara pra kelayakan serta profil syarikat dan surat tersebut perlu diserahkan kepada Adam Radlan untuk diuruskan bagi mendapatkan minit sokongan daripada Muhyiddin.
"Saya meminta Aliza (Aliza Abd Malek) untuk sediakan lima surat permohonan projek IPD Klang Utara secara Pra Kelayakan. Aliza menyediakan lima surat permohonan bagi lima syarikat iaitu Nepturis Sdn Bhd, Fastcoll Corporation Sdn Bhd, MZ Hakujaya Sdn Bhd, Permata Rebana Sdn Bhd dan JM Letrik Sdn Bhd yang kesemuanya bertarikh 1 Feb 2021," katanya.
Beliau juga memaklumkan surat itu dihantar kepada Muhyiddin bagi mendapatkan sokongan beliau selaku Perdana Menteri ketika itu untuk menyertai tender pra kelayakan pembinaan untuk projek berkenaan.
Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian merupakan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan kes di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok. - Bernama