SEREMBAN - Rakyat Malaysia perlu diberi keutamaan untuk mengisi peluang pekerjaan yang tersedia di negara ini sebelum dibuka kepada pekerja asing, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.
Beliau berkata, perkara itu selaras dengan matlamat utama Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan peluang pekerjaan diberikan terlebih dahulu kepada rakyat tempatan.
"Bagi saya sebagai Menteri Sumber Manusia, matlamat utama saya ialah pekerjaan bagi warga Malaysia. Rakyat Malaysia perlu diberikan keutamaan dulu. Contohnya, kalau tidak ada yang mengambilnya, ya kita boleh buka untuk warga lain mengambil pekerjaan tersebut.
"Tetapi keutamaan adalah kepada warga Malaysia dulu...yang rakyat Malaysia tak minat ataupun kurang minat, kita boleh tawarkan kepada warga asing tetapi ikutlah undang-undang dan peraturan negara," katanya ketika diminta mengulas cadangan pengambilan pekerja dalam kalangan pelarian etnik Rohingya yang sah dalam negara.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Senawang, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Ramanan berkata, kementeriannya akan mempermudah proses permohonan pekerja asing khususnya bagi sektor perkhidmatan selaras arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar keperluan tenaga kerja asing dapat dipenuhi dengan segera.
Beliau berkata, hari ini, pihaknya telah memberi arahan kepada jabatan berkaitan di bawah kementerian itu agar tidak berlaku birokrasi atau kelewatan dalam proses permohonan berkenaan.
"Perdana Menteri telah memberi kami tempoh 30 hari untuk menyelesaikannya, namun saya akan percepatkan dan berharap dalam tempoh 20 hari kita boleh selesaikan, bergantung kepada beberapa isu di sumber manusia, tapisan keselamatan dan sebagainya,” katanya.
Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri mengarahkan isu permohonan penggajian pekerja asing mengikut keutamaan khususnya bagi sektor restoran diselesaikan kementerian serta jabatan berkaitan dalam tempoh sebulan.
Beliau berkata, kerajaan memahami keperluan mendesak pengusaha restoran di negara ini untuk mengisi kekosongan tenaga kerja, namun pada masa sama perlu memastikan pengambilan pekerja asing dilakukan secara terkawal.
Dasar kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menetapkan penggajian pekerja asing tidak boleh melebihi 15 peratus daripada guna tenaga negara, manakala di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) jumlah itu disasarkan menurun kepada 10 peratus menjelang 2030. - Bernama