WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin menyuarakan keyakinan dan optimisme bahawa perjanjian damai melalui rundingan dengan Iran berpotensi dicapai ketika jeda pertempuran memasuki hari ketiga.
Pertempuran antara dua seteru itu terhenti sejak Jumaat lalu selepas kempen pencerobohan baharu Washington selama 13 malam berturut-turut terhadap Teheran meningkatkan semula ketegangan di Asia Barat.
Trump yang menggunakan retorik 'lebih lembut' berharap usaha diplomasi baharu dapat menamatkan perang tersebut yang berlarutan sejak 28 Februari lalu.
"Saya mempunyai kesabaran yang tinggi. Kita lihat apa yang berlaku. Saya fikir ada kemungkinan besar sesuatu boleh dicapai,” katanya di dalam pesawat Air Force One.
Iran bagaimanapun menafikan sebarang rundingan dengan AS seperti didakwa Trump untuk menamatkan konflik itu.
"Negara perantara mungkin menyampaikan mesej daripada Washington kepada kami berkaitan perkembangan semasa di rantau ini. Buat masa ini, kami tidak terlibat sebarang rundingan dengan AS,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei.
Tetapi, Trump ketika berucap di Michigan berkeras menyatakan Teheran kononnya sedang berbincang dengan pihaknya untuk mencapai satu perjanjian.
Pemimpin Republikan itu turut memberi tentera AS bersedia menyambung semula operasi ketenteraan terhadap Iran sekiranya usaha diplomasi terbaharu itu menemui kegagalan.
Ketika serangan dihentikan sementara, Perdana Menteri Israel, Netanyahu dijadualkan bertemu Trump di Rumah Putih pada Selasa bagi membincangkan langkah seterusnya terhadap Iran, selepas ia dipinggirkan daripada proses rundingan yang membawa kepada kesepakatan untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada bulan lalu. - Agensi