SHAH ALAM - Kadar elaun sukarelawan bagi acara Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang menjadi perhatian selepas tular di media sosial hantaran seorang individu yang mendakwa bayaran tersebut masih kekal pada RM60 sehari, sama seperti yang ditawarkan pada 2017.
Menurut pemilik akaun Thread, pa.eh, beliau berpandangan kadar tersebut wajar dinilai semula sekurang-kurangnya RM120 sehari dalam menjayakan acara bertaraf antarabangsa itu.
"Kadar sukarelawan ni sembilan tahun lepas punya kan? Jangan bagi malu kat Bahrain kalau pakai lagi RM60 sehari, sekurang-kurangnya RM120 sehari.
"Sukarelawan pun manusia, ni lagi rendah dari Score Marathon tau. Bayangkan kau jadi sukarelawan kemudian kena jaga bahagian parkir," tulisnya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dengan sebahagian menyifatkan kadar RM60 sehari sudah tidak lagi relevan selain membandingkan elaun melebihi RM100 sehari bagi kejohanan lain.
Bagaimanapun, terdapat juga pengguna media sosial yang berpendapat mereka tidak kisah dengan jumlah bayaran diterima kerana peluang menjadi sukarelawan membolehkan mereka menyaksikan perlumbaan F1 secara percuma.
Terdahulu, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) membuka permohonan kepada sukarelawan di laman rasminya sebagai persediaan Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober.
Antara manfaat lain yang ditawarkan ialah makanan sepanjang tempoh bertugas serta peluang merasai pengalaman bekerja di belakang tabir acara sukan permotoran bertaraf dunia.
SIC sebelum ini menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia selama 19 tahun berturut-turut dari 1999 hingga 2017, sebelum perlumbaan tersebut dikeluarkan daripada kalendar F1.