SEREMBAN – Polis akan memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung ceramahnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini yang didakwa berunsur perkauman.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, setakat ini beberapa saksi telah dipanggil bagi memberi keterangan dan siasatan masih diteruskan.
"Sebaik sahaja polis menerima dua laporan berhubung perkara terbabit, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat pusat mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Nilai di sini pada Selasa.
Bagaimanapun jelas beliau, jumlah keseluruhan laporan terhadap Muhammad Sanusi masih belum diperolehi.
Berkenaan kes melibatkan seorang pemimpin UMNO yang mengaitkan institusi Istana Negeri Sembilan dengan parti politik, Alzafny berkata, pihaknya juga akan memanggil lelaki terbabit untuk dirakam percakapan.
"Seperti mana yang dimaklumkan sehingga malam tadi (Selasa) polis telah menerima 11 laporan berhubung kes berkenaan.
"Rakaman percakapan beberapa saksi telah pun diambil, manakala Ketua Penerangan UMNO Rembau tersebut akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan," katanya.
Sebelum ini, tular video seorang pemimpin UMNO Rembau mendakwa Istana Negeri Sembilan telah dipegang oleh DAP.
Jelas Alzafny, bagi menjalankan siasatan bagi kedua-dua kes, pihaknya juga memerlukan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Beliau turut menegaskan bahawa polis akan cuba menyelesaikan siasatan kes terbabit secepat mungkin dalam tempoh PRN ini berlangsung.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Orang rasmi turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan kandungan tersebut sehingga boleh menjejaskan siasatan dan ketenteraman awam.
Istana Negeri Sembilan dalam kenyataannya menegaskan. sebarang dakwaan yang mengaitkan pihaknya dengan mana-mana parti adalah tidak benar.
Semua parti politik turut dinasihatkan tidak mengaitkan istana semasa ceramah dan kempen Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan.