SEREMBAN - Sebanyak 18 daripada keseluruhan 38 pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 membabitkan anggota pasukan keselamatan dan pasangan masing-masing ditutup jam 12 tengah hari ini.
Pusat mengundi yang dibuka pada jam jam 8 pagi tadi akan ditutup secara berperingkat mengikut kawasan serta jumlah pemilih berdaftar.
Pusat mengundi itu, antaranya Khemah A Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu (Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah); Khemah B IPD Jelebu (DUN Pertang); Ruang B Dewan Serbaguna IPD Jempol (DUN Jeram Padang) dan Ruang A Dewan Emerald IPD Nilai (DUN Lenggeng).
Dewan Syarahan Latih Rejimen 508 Kem Jalan Rasah (DUN Nilai); Ruang A Dewan Serbaguna IPD Kuala Pilah (DUN Seri Menanti); Ruang C Dewan Serbaguna IPD Kuala Pilah (DUN Johol); dan Balai Polis (DUN Labu).
Baki pusat pengundian awal akan ditutup pada jam 2 dan 5 petang.
Berdasarkan peratusan terkini keluar mengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 53.26 peratus pengundi awal melibatkan 5,566 anggota tentera dan pasangan serta 3,205 polis serta pasangan, telah selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing memilih wakil rakyat baharu setakat jam 11 pagi.
Pengundian awal melibatkan keseluruhan sebanyak 22,339 pemilih dengan 16,467 orang mengundi secara fizikal merangkumi 11,293 tentera dan pasangan serta 5,174 polis dan pasangan, manakala selebihnya mengundi secara pos.
PRN Negeri Sembilan menyaksikan 103 calon merebut 36 kerusi DUN dengan pengundian bagi 867,151 pemilih biasa ditetapkan pada Sabtu ini.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9. - Bernama