SELEPAS lebih dua dekad menjadi pilihan rakyat Malaysia mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian, MR D.I.Y. kini memperkenalkan program kesetiaan pertamanya, MR.DIY Club yang menawarkan ganjaran kepada pelanggan selain membolehkan seisi keluarga menikmati manfaat bersama.
Program yang boleh disertai secara percuma itu menawarkan pelbagai kelebihan kepada ahli termasuk mata ganjaran bagi setiap pembelian, baucar tunai, ganjaran hari lahir serta akses kepada acara dan bengkel eksklusif.
Antara ciri utama MR.DIY Club ialah Akaun Keluarga yang membolehkan sehingga lima ahli keluarga menghubungkan keahlian masing-masing dan menggabungkan mata ganjaran di bawah satu akaun kongsi, sekali gus membantu mereka mengumpul serta menebus ganjaran dengan lebih pantas sebagai sebuah keluarga.
Naib Presiden Kanan Pemasaran MR D.I.Y., Alex Goh berkata, program itu diperkenalkan sebagai tanda penghargaan kepada jutaan rakyat Malaysia yang menjadikan MR D.I.Y. sebahagian daripada kehidupan seharian mereka.
Menurut beliau, sejak lebih 20 tahun beroperasi, pelanggan datang ke MR D.I.Y. untuk mendapatkan pelbagai keperluan, daripada bateri ketika kecemasan, bahan projek sekolah, peralatan pembaikan rumah sehinggalah barangan keperluan isi rumah.
"Ramai pelanggan kami membeli-belah bersama keluarga, justeru kami mahu mewujudkan satu program yang memberi ganjaran bukan sahaja kepada pembeli individu tetapi seluruh isi rumah.
"MR.DIY Club membolehkan keluarga mengumpul mata ganjaran bersama, menikmati nilai yang lebih baik serta berkongsi pengalaman yang melangkaui urusan pembelian di kaunter.
"Ini merupakan cara kami menghargai sokongan pelanggan yang terus berkembang bersama kami sambil memberikan lebih banyak sebab untuk mereka kembali membeli-belah dengan kami," katanya ketika majlis pelancaran MR.DIY Club di MyTOWN Shopping Centre baru-baru ini.
Alex berkata, MR D.I.Y. sentiasa berpegang kepada komitmen memberikan nilai terbaik menerusi janji ‘Always Low Prices’ yang menjadi sebahagian daripada identiti syarikat.
Katanya, menerusi MR.DIY Club, syarikat mahu membina hubungan yang lebih bermakna dengan pelanggan bukan sekadar tertumpu kepada urusan pembelian.
"Matlamat kami adalah untuk memastikan setiap ahli merasakan setiap kunjungan mereka ke MR D.I.Y. benar-benar berbaloi," katanya.
Seiring pelancaran program itu, MR D.I.Y. menyasarkan setiap keluarga di Malaysia menjadi ahli MR.DIY Club.
Alex berkata, tumpuan syarikat selepas ini adalah untuk mendengar maklum balas ahli, memahami corak pembelian mereka serta perkara yang mereka hargai bagi menambah baik pengalaman yang ditawarkan.
"Kami juga mempunyai perancangan yang kukuh dengan pelbagai aktiviti dan ganjaran baharu yang akan diperkenalkan dalam beberapa bulan akan datang.
"Kami komited untuk memastikan program ini menjadi lebih bernilai dan memberi lebih banyak ganjaran kepada ahli setiap kali mereka mengunjungi MR D.I.Y.," katanya.
Menerusi MR.DIY Club, ahli akan memperoleh satu mata ganjaran bagi setiap RM1 yang dibelanjakan. Mata ganjaran terkumpul boleh ditebus untuk baucar tunai yang boleh digunakan bagi pembelian pada masa hadapan.
Ahli baharu turut menerima ganjaran alu-aluan segera sebanyak 400 mata serta menikmati lima kali ganda mata ganjaran biasa untuk pembelian dalam bulan kelahiran mereka.
Selain itu, ahli akan memperoleh satu ‘Bag’ bagi setiap RM20 yang dibelanjakan, yang memberikan akses kepada acara dan bengkel eksklusif. ‘Bag’ yang diperoleh menerusi Akaun Keluarga yang dipautkan pula akan digabungkan, membolehkan seluruh keluarga menikmati manfaat bersama.
Tambah Alex, pelancaran MR.DIY Club merupakan satu lagi langkah syarikat dalam memperkukuh pengalaman membeli-belah yang lebih lancar, mudah, diperibadikan dan bernilai kepada pelanggan.
Katanya, maklumat serta pandangan yang diperoleh menerusi program itu turut membantu MR D.I.Y. memahami perubahan keperluan pelanggan dengan lebih baik, sekali gus menambah baik produk, faedah dan pengalaman membeli-belah yang ditawarkan pada masa hadapan.
Dalam perkembangan sama, MR D.I.Y. turut memperkenalkan pasangan pelakon Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin, atau lebih dikenali sebagai SamTilla, sebagai duta rasmi MR.DIY Club.
Menurut Alex, pasangan itu dipilih kerana keperibadian mereka yang mesra, mencuit hati serta kehidupan keluarga yang sederhana dan dekat dengan rakyat Malaysia, sekali gus mencerminkan semangat program yang mengutamakan nilai kekeluargaan, berjimat cermat dan berkongsi ganjaran bersama.
"MR.DIY Club dibina berlandaskan kehidupan seharian keluarga Malaysia, menjadikan keluarga SamTilla pilihan yang tepat untuk program ini serta nilai-nilai yang dibawanya," katanya.
Aplikasi MR.DIY Club kini boleh dimuat turun menerusi App Store dan Google Play.