MELAKA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang berhubung dengan Jabatan Peguam Negara bagi proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA) bagi siasatan pelaburan RM163 juta dalam syarikat eFishery di Indonesia.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, proses MLA itu penting bagi mendapatkan dokumen berkaitan pelaburan yang berada di luar negara selain merakam keterangan saksi-saksi yang terlibat dalam siasatan.
Menurutnya, setakat ini pihaknya hanya meneliti dokumen yang diperoleh daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Kementerian Kewangan (MOF), namun percaya terdapat dokumen penting lain yang perlu diperoleh daripada negara terbabit.
"Tiga negara yang menjadi fokus bagi proses MLA ialah Dubai, Singapura dan Indonesia," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Mesyuarat Jawatankuasa Sekretariat ASEAN-PAC Ke-22 di Banda Hilir di sini pada Selasa.
Abd Halim berkata, proses MLA dijangka mengambil masa yang lebih panjang kerana melibatkan bidang kuasa yang berbeza serta memerlukan kerjasama daripada pihak berkuasa negara-negara yang terlibat.
"Siasatan masih berjalan dan kita berharap segala kerjasama yang diperlukan dapat diperoleh bagi melengkapkan siasatan," katanya.
Beliau berkata, siasatan terhadap pelaburan KWAP itu bermula secara rasmi pada 17 Julai lalu sebelum dilaksanakan secara fizikal pada 20 Julai dan berjalan lancar setakat ini.
Katanya, SPRM telah merakam keterangan 20 saksi yang terdiri daripada pegawai KWAP, pegawai MOF, ahli Jawatankuasa Pelaburan KWAP serta ahli panel pelaburan yang terlibat dalam urusan pelaburan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, SPRM turut mengutus surat kepada Bank Negara Malaysia bagi mendapatkan kerjasama berhubung dua perkara penting dalam siasatan tersebut.
“Pertama, mendapatkan maklumat kewangan melalui rangkaian kerjasama antarabangsa bagi mengesan kedudukan kewangan tiga syarikat di luar negara iaitu sebuah di Singapura dan dua di Indonesia.
"Kedua, menjalankan semakan terhadap Laporan Transaksi Tunai (CTR) dan Laporan Transaksi Mencurigakan (STR) bagi mengenal pasti aliran kewangan pihak-pihak yang berkaitan dalam siasatan ini," katanya.
Beliau berharap, mendapat kerjasama yang baik daripada agensi berkaitan di luar negara bagi membantu mengesan kedudukan kewangan syarikat-syarikat terbabit.