Projek Pelabuhan Pintar AI di Port Dickson tidak libat pengambilan tanah - Aminuddin

Iklan
Aminuddin

SEREMBAN - Pelaksanaan projek Pelabuhan Pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) di Port Dickson akan dilaksanakan di tanah milik Tanco Holdings Berhad dan anak syarikatnya Midports Holdings Sdn Bhd tanpa melibatkan pengambilan tanah lain.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, dakwaan kononnya pelaksanaan projek itu akan membabitkan pengambilan tanah seluas kira-kira 566 hektar (1,400 ekar) termasuk di kawasan kampung, hutan simpan, tanah adat, kawasan perindustrian, pertanian dan lot kediaman adalah tidak benar.

Iklan
Iklan

"Pembangunan akan dilaksanakan di atas tanah milik Tanco Holdings Berhad yang mempunyai tanah seluas kira-kira 202 hektar (500 ekar), yang akan digunakan sebagai tapak pembangunan pelabuhan tersebut,” katanya menerusi video yang dimuat naik dalam Facebook.

Beliau berkata, projek yang membabitkan nilai pelaburan RM3.4 bilion bagi fasa pertama itu dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan Port Dickson, selain berpotensi menjadikan kawasan berkenaan sebagai pusat perniagaan bebas cukai.

Iklan

Aminuddin berkata, projek berkenaan ialah merupakan satu pemangkin perubahan dan akan memberikan manfaat besar kepada penduduk di kawasan berkenaan, khususnya di Linggi dan Pasir Panjang.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan mengabaikan kepentingan penduduk Melayu di kawasan terbabit, sebaliknya menegaskan tanah milik rakyat akan terus dilindungi.

Iklan

"Saya akan pastikan tanah-tanah orang Melayu tetap terjaga dan dijaga dengan baik. Kita tidak mahu masyarakat dikelirukan atau ditakut-takutkan dengan perkara yang tidak benar," katanya.

Mengulas kebimbangan mengenai nasib nelayan serta penduduk yang bergantung pendapatan di Sungai Linggi, Aminuddin berkata, projek itu tidak melibatkan Kampung Tanjung Agas, Kampung Sungai Raya mahupun Sungai Linggi dan komited memastikan kebajikan nelayan terus terbela.

Beliau berkata, kekeliruan berhubung perkara itu mungkin timbul kerana terdapat satu lagi projek pelabuhan dikenali sebagai Kuala Linggi International Port (KLIP) di sempadan Negeri Sembilan dan Melaka, namun projek berkenaan berada di bawah pentadbiran Melaka.

Pada 14 Julai lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan Pelabuhan Midport bakal memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab digital dan maritim, sekali gus meningkatkan keupayaan negara memenuhi permintaan perdagangan global yang semakin berkembang.

Anwar berkata, projek pelabuhan berteknologi AI itu bukan sekadar pembangunan infrastruktur baharu, malah memenuhi keperluan strategik sebagai sebuah negara maritim yang terletak di laluan perkapalan paling sibuk di dunia, iaitu di Selat Melaka. - Bernama