Serah lebih RM46,190 selepas terima mesej 'I Love You' daripada 'Elon Musk'

Iklan
Seorang lelaki selepas disyaki menyamar sebagai bilionair terkenal, Elon Musk untuk memperdaya seorang wanita. Gambar hiasan

TOKYO – Polis Jepun menahan seorang lelaki selepas disyaki menyamar sebagai bilionair terkenal, Elon Musk dan memperdaya wanita berusia 65 tahun sehingga kerugian hampir 1.85 juta yen (kira-kira RM46,190).

Menurut laporan media tempatan, suspek ditahan Jumaat lalu, atas tuduhan penipuan selepas memperoleh 700,000 yen (RM17,471) daripada mangsa.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati wanita itu sebenarnya telah memindahkan wang berjumlah keseluruhan 1.85 juta yen menerusi enam transaksi berasingan dan polis kini sedang mengesan baki wang tersebut.

Menurut Polis Kamiamakusa di Wilayah Kumamoto, suspek bersama beberapa rakan subahat dipercayai menyamar sebagai pengasas Tesla itu di media sosial bagi memperdaya wanita yang berasal dari Bandar Kamiamakusa itu.

Iklan

Suspek mula menghubungi mangsa menerusi platform X sebelum memintanya meneruskan perbualan di aplikasi LINE.

Dia kemudian menghantar mesej romantik seperti, 'Saya cintakan awak. Awak mesti dengar cakap saya' sebelum meminta mangsa memindahkan wang.

Iklan

Bagi meyakinkan mangsa, sindiket terbabit dipercayai menggunakan imej yang dijana menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan mendakwa hubungan mereka turut dilaporkan media asing.

Malah, mereka turut mengatur panggilan video menggunakan seorang lelaki yang menyamar sebagai warga asing berkulit putih, menyebabkan mangsa percaya dia benar-benar menjalin hubungan dengan Elon Musk.

Pihak berkuasa meneruskan siasatan sama ada terdapat mangsa lain yang diperdaya menerusi modus operandi yang sama.