Khafiz menjejak puncak Everest

Iklan
Khafiz mengibarkan Jalur Gemilang dengan bangganya di puncak Everest pada 18 Mei lalu.

PADA jam 5.24 pagi waktu Nepal (7.24 waktu Malaysia) 18 Mei 2026, Khafiz al Kicok berdiri di puncak gunung tertinggi di dunia, Gunung Everest.

Beliau adalah rakyat Malaysia ke-30 yang telah berbuat demikian sejak dua pendaki Malaysia, M Magendran dan M Mohandas berbuat demikian 29 tahun yang lalu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun Khafiz merupakan salah seorang daripada dua orang rakyat Malaysia yang telah berjaya mendaki tiga buah gunung yang melebihi 8,000 meter.

Beliau mencecah puncak Manaslu (8,163 meter), gunung kelapan tertinggi di dunia pada tahun 2022 dan K2, gunung kedua tertinggi (8,611 meter) pada tahun 2023.

Iklan

Seorang lain ialah RJ Nadarajan, teman pendakiannya di K2. Selain Manaslu dan K2, RJ Nadarajan telah menjejak puncak Lhotse (8,516 meter) yang merupakan gunung keempat tertinggi.

Khafiz dan RJ Nagarajan di puncak Gunung Manaslu, Nepal pada tahun 2022.

Iklan

Khafiz sebenarnya ingin melakukan double kali ini, menjejak Everest dan sekali gus mendaki Lhotse yang letaknya tidak jauh dari situ. Tetapi beliau terpaksa membatalkan hasratnya oleh sebab disyaki terkena frostbite lalu disarankan turun terus dari Everest.

Musim pendakian Everest tahun ini agak luar biasa. Everest Base Camp (EBC) penuh dengan pendaki, malim gunung dan petugas lainnya.

Kerajaan Nepal mengeluarkan permit paling banyak tahun ini (494). Keadaan jadi lebih sesak disebabkan pada lereng sebelah Tibet tidak ada permit dikeluarkan.

Selama lebih 10 hari pula pendakian terhenti disebabkan ada serak (serac) yang merupakan bongkah air batu sebesar kapal Titanic di laluan Khumbu Icefall.

Khumbu Icefall merupakan sungai ais yang berubah corak dan kedudukan sepanjang masa dan perlu diseberangi bagi menuju ke Kem 1. Keadaan serak yang tidak stabil menyebabkan kerja- kerja menyediakan laluan dan memasang tali terganggu.

Khafiz sedar tidak ada gunanya menunggu di EBC yang sesak dengan manusia. Beliau perlu membuat latihan terus dan memastikan proses acclimatization (penyesuaian dengan ketinggian) berjalan lancar.

Seseorang pendaki harus memastikan bukan sahaja tahap kecerdasan dan kekuatan fizikal dan mental tetapi juga bersedia menghadapi kemungkinan ancaman Acute Mountain Sickness (AMS).

Dari kiri, jurukamera Marwan Murshid, pengarah filem Ahmad Yazid, Khafiz dan pendaki Margaret Chew di Namche Bazaar, Nepal.

AMS datang dalam dua bentuk iaitu cerebral edema (otak membengkak) dan pulmonary edema (paru-paru berair) disebabkan altitud atau ketinggian. Kedua-duanya boleh memudaratkan malah membunuh.

Khafiz pernah berdepan bahaya AMS sewaktu mendaki Gunung Damavand (5,617 meter) di Iran. Malah beliau mendapat kesan AMS yang teruk sewaktu mendaki Kilimanjaro (5,895 meter), gunung tertinggi di benua Afrika.

Sementara menunggu laluan dibuka, Khafiz dan malim gunungnya Saila Mingma yang bersama-samanya sejak di Manaslu mendaki Island Peak atau Imja Tse (6,189 meter) dan kemudiannya Lobuche East (6,119 meter).

Apabila laluan di Khumbu Icefall dibuka, mereka bergerak pantas ke Kem 1 dan kemudiannya pada 11 Mei berada di Kem 2 dan terus ke Kem 3 empat hari kemudian.

Pada petang 17 Mei mereka mempersiapkan diri bergerak menuju puncak. Mereka mengambil masa 12 jam dari Kem 4 untuk sampai ke laluan sempit yang menjadi pintu masuk untuk ke puncak, Hillary Steps.

Terlalu banyak rekod dibuat di Everest pada musim pendakian ini. Selain permit paling banyak dikeluarkan, Everest juga menyaksikan hampir 1,000 orang pendaki yang berjaya sampai ke puncaknya.

Berlatarbelakangkan Gunung K2, yang kedua tertinggi di dunia, Khafiz adalah pendaki Asia Tenggara kelima yang berjaya mencecah puncaknya.

Rekod jumlah pendaki paling banyak yang berjaya pada satu-satu musim sebelum ini adalah 877 orang pada tahun 2019. Pada 21 Mei tahun ini, tiga hari setelah kejayaan Khafiz, seramai 275 orang berada di puncak Everest.

Sejak Sir Edmund Hillary dan Sherpa Tenzing berjaya mendaki Everest pada 29 Mei 1953, selama hampir 40 tahun barulah jumlah pendaki sebanyak itu secara terkumpul berjaya sampai ke atas.

Pencapaian luar biasa ini berpunca daripada wujudnya syarikat profesional (outdoor adventure companies) yang membawa pelanggan mereka dengan bantuan malim gunung berpengalaman serta menggunakan peralatan dan teknologi tercanggih.

Hari ini 'siapa sahaja boleh menjejak puncak Everest' asalkan sanggup membayar permit (AS$15,000) dan kos lainnya. Everest sudah jadi projek niaga besar bagi syarikat- syarikat ini.

Kejayaan Khafiz memang patut dibanggakan. Beliau telah mendaki hampir semua gunung utama di Malaysia dan Indonesia.

Selain Kilimanjaro dan Damavand, beliau pernah mendaki Aconcagua (6,961 meter) di Argentina yang juga gunung tertinggi di Amerika Selatan.

Beliau juga berjaya menjejak puncak Carstensz Pyramid atau Puncak Jaya (4,884 meter) di Papua Indonesia, salah sebuah gunung paling sukar didaki.

Buku tentang pendakian Khafiz di Manaslu dan K2.

Pengalaman beliau di K2 dan di tempat- tempat lain serta kembara berbasikal dan pembabitannya dalam siri perlumbaan Ironman telah beliau rakamkan dalam buku Misi K2: Pendakian Ironman Malaysia ke Puncak Gunung Paling Berbahaya di Dunia terbitan Bonda Nur Sdn Bhd (2025).

Pendaki elit negara ini telah menjejak puncak tiga buah gunung yang melebihi 8,000 meter (terdapat 14 buah gunung sedemikian di dunia) dan berjaya mendaki tiga dari tujuh puncak tertinggi di tujuh benua (Everest, Aconcagua dan Carstensz Pyramid).

Pada usia 49 tahun, entah gunung mana lagikah yang akan digapainya awannya di puncak oleh Khafiz?

*Tan Sri Johan Jaaffar adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau juga seorang trekker dan pendaki. Beliau bersama 10 pendaki lain telah menjejak Annapurna Base Camp (ABC) pada 22 September 2025. Usianya pada masa itu 71 tahun, 10 bulan dan 14 hari.