ATLET Kyrgyzstan, Evgeny Tikhonin dan Mariia Kurchenko, masing-masing muncul juara kategori elit lelaki serta wanita dalam perlumbaan IRONMAN 70.3 sempena Festival Pelbagai Sukan Desaru Coast edisi kelima yang berlangsung dengan penyertaan lebih 1,000 atlet dari 60 negara.
Festival yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Julai itu sekali lagi mengangkat Desaru Coast sebagai antara destinasi utama sukan ketahanan di Asia Tenggara menerusi penganjuran IRONMAN 70.3 Desaru Coast, 5150 Triathlon, Sprint Triathlon dan IRONKIDS, sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai hab pelancongan sukan bertaraf antarabangsa.
Dalam perlumbaan elit lelaki, Tikhonin menamatkan saingan dengan catatan masa 3 jam 49 minit 35 saat (3:49:35) untuk menewaskan juara bertahan dari Australia, Jed Radbone (3:57:28), manakala rakan senegaranya, Ilya Kosov, melengkapkan kedudukan tiga terbaik dengan masa 4:03:48.
Kemenangan itu merupakan gelaran ketiga IRONMAN 70.3 buat Tikhonin dan yang kedua musim ini selepas menjuarai IRONMAN 70.3 Afrika Selatan.
Tikhonin berpuas hati dengan strategi perlumbaan yang dirancang walaupun berdepan keadaan ombak dan cuaca yang mencabar sepanjang pertandingan.
"Saya tidak datang untuk mencatat rekod peribadi. Sasaran utama ialah kemenangan," katanya sambil menyifatkan perlumbaan itu sebagai persiapan terbaik menghadapi Kejohanan Dunia IRONMAN 70.3 di Nice, Perancis pada September ini.
Bagi kategori wanita pula, Kurchenko mencipta kemenangan dalam penampilan sulungnya di Malaysia apabila menamatkan perlumbaan dengan masa 4:20:26, mengatasi atlet Singapura, Ling Er Choo (4:26:36), dan wakil Hong Kong, Lisa Cheng (5:08:10).
Jurulatih renang berusia 29 tahun itu berkata kemenangan berkenaan memberikan suntikan keyakinan menjelang Kejohanan Dunia IRONMAN 70.3 selain menyifatkan pengalaman pertamanya berlumba di Malaysia sebagai sesuatu yang cukup bermakna.
"Saya sangat gembira. Ini pertandingan pertama saya di Malaysia dan saya sangat menyukainya. Laluan renang lebih pendek, sedangkan renang adalah kekuatan saya.
"Visor topi keledar dan cermin mata saya basah ketika berbasikal, tetapi saya tetap gembira kerana berjaya menamatkan perlumbaan dan menang," katanya, sambil mendedahkan penyertaannya di Desaru Coast adalah atas cadangan jurulatihnya, Ilya Kosov.
Malaysia turut mencatat keputusan membanggakan apabila Teh Kuok Yuen muncul atlet lelaki tempatan terpantas selepas menduduki tempat kelima keseluruhan dengan catatan 4:17:45, walaupun berdepan masalah kekejangan kaki ketika larian.
"Hari ini memang sukar. Renang sukar, berbasikal sukar dan larian juga sukar. Selepas tamat kayuhan, kaki saya mula kejang.
"Mujur keadaan bertambah baik selepas beberapa kilometer sebelum kekejangan kembali pada penghujung perlumbaan," katanya, sambil menegaskan latihan berdisiplin dan konsisten menjadi rahsia beliau kekal kompetitif selama lebih dua dekad.
Dalam kategori wanita, Yen Chia sekali lagi muncul atlet wanita Malaysia terpantas buat tahun kedua berturut-turut apabila menamatkan perlumbaan dalam masa 5:09:55.
Beliau menyifatkan laluan renang kali ini sebagai yang paling mencabar sepanjang penglibatannya dalam sukan triatlon.
"Cuaca hari ini sebenarnya sangat baik. Cuma renangan amat mencabar. Ia adalah laluan renang paling sukar dalam hidup saya, tetapi laluan basikal dan larian sangat menyeronokkan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Operasi IRONMAN Asia, CG Lim pula berkata, edisi kelima festival itu sekali lagi membuktikan daya tarikan Desaru Coast sebagai destinasi sukan ketahanan bertaraf dunia dengan kehadiran peserta dari pelbagai negara.
"Kami mahu meneruskan momentum ini bersama semua rakan strategik bagi menarik lebih ramai peserta serta mengukuhkan Festival Pelbagai Sukan Desaru Coast sebagai antara acara sukan ketahanan utama di rantau ini," katanya.
Selain perlumbaan IRONMAN 70.3, festival itu turut menampilkan acara 5150 Triathlon, Sprint Triathlon dan IRONKIDS, di samping pelbagai aktiviti sampingan seperti paintball, permainan layang-layang, air badminton, sesi kecergasan, pasar artisanal dan teqball yang memeriahkan suasana sepanjang tiga hari penganjurannya.