Dakwaan Istana Negeri Sembilan ‘dipegang’ DAP fitnah jahat - PKR

Iklan
Md Sani (empat dari kiri) bersama ahli PKR Rembau membuat laporan polis berhubung video tular mengatakan Istana Negeri Sembilan dipegang oleh DAP.

SEREMBAN - Dakwaan seorang pemimpin UMNO Rembau yang mengatakan bahawa Istana Negeri Sembilan 'dipegang' oleh DAP adalah satu tuduhan berat dan merupakan fitnah jahat.

Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rembau, Md Sani Md Shah berkata, tidak sepatutnya Institusi Diraja dijadikan bahan kempen bagi meraih sokongan.

Iklan
Iklan

"Saya terlihat satu video di media sosial berkenaan ucapan seorang lelaki yang didakwa merupakan Ketua Penerangan UMNO Rembau yang menyebut 'sampai istana, sampai negeri, sampai kuasa negeri, Menteri Besar kita habis dipegang oleh DAP'.

"Bagi saya itu satu tuduhan berat dan fitnah jahat terhadap Istana Negeri Sembilan, khususnya terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan," katanya selepas membuat laporan berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau di sini pada Isnin.

Iklan

Justeru, beliau menggesa tindakan undang-undang dikenakan terhadap lelaki berkenaan kerana dengan jelas telah menghina dan merendahkan martabat Institusi Diraja Negeri Sembilan.

Tambahnya, kenyataan seumpama itu secara tidak langsung boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Iklan

"Janganlah ambil kesempatan atas krisis yang sedang berlaku sekarang kerana ia hanya mengeruhkan lagi keadaan. Carilah isu lain yang lebih sesuai," katanya.

Sebelum ini, tular video seorang pemimpin UMNO Rembau yang mendakwa Istana Negeri Sembilan telah dipegang oleh DAP.

Difahamkan terdapat beberapa laporan polis telah dibuat berhubung perkara terbabit.

Istana Negeri Sembilan dalam kenyataannya menegaskan sebarang dakwaan yang mengaitkan pihaknya dengan mana-mana parti adalah tidak benar.

Semua parti politik turut dinasihatkan tidak mengaitkan istana semasa ceramah dan kempen Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan.