KUALA LUMPUR - Pengarah Urusan syarikat Mamfor Sdn Bhd (MFSB) memberitahu Mahkamah Tinggi pada Isnin bahawa beliau menyumbang RM19.5 juta kepada Bersatu bagi membantu syarikat Sutracom Sdn Bhd (Sutracom) milik adiknya mendapatkan projek Membina Lingkaran Pulau Indah Fasa 3 di bawah program Jana Wibawa.
Shahradzi Shamsuddin, 44, berkata pada April dan Mei 2021, Datuk Azman Yusoff ada menghubunginya dan meminta beliau membuat sumbangan wang kepada Bersatu kerana ahli perniagaan itu akan membantu syarikat Sutracom mendapatkan projek tersebut.
"Saya sahkan jumlah saya sumbangkan kepada Bersatu adalah sebanyak RM19.5 juta. Saya telah meminjam daripada syarikat Majulia Sdn Bhd (MSB) milik ibu saya sebanyak RM7 juta lebih manakala syarikat Sutracom yang dimiliki adik saya, Shahrin sebanyak RM13.7 juta.
"Wang sumbangan kepada Bersatu ini merupakan sumbangan Mamfor kepada Bersatu atas permintaan Datuk Azman, kerana beliau (Datuk Azman) akan membantu syarikat Sutracom mendapatkan projek dan dia ada memaklumkan kepada saya bahawa projek ini mungkin akan berjaya,” katanya.
Saksi pendakwaan ke-20 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan bekas perdana menteri itu yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.
Pada prosiding sebelum ini, saksi pendakwaan ke-19 Zuriedah Deres@Musa dalam pernyataan saksinya menyatakan Azman adalah pengarah urusan KCJ Engineering Sdn Bhd.
Shahradzi memberitahu pada April atau Mei 2021, beliau menghubungi Azman untuk meminta bantuan bagi urusan projek Sutracom di Kementerian Kerja Raya kerana syarikat itu mendapat jemputan pra-kelayakan dari Jabatan Kerja Raya (JKR) dan meminta Azman memantau projek diminta oleh Sutracom tersebut.
Saksi itu berkata, daripada RM19.5 juta, beliau menyumbang RM10.5 juta sebelum Sutracom menerima surat setuju terima (SST) manakala bakinya RM9 juta lagi disumbangkan setelah menerima SST.
Shahradzi berkata, Azman tidak ada menetapkan nilai atau peratusan sumbangan namun beliau sebagai seorang ahli perniagaan mengganggarkan sumbangan yang mampu diberikan adalah sebanyak tiga peratus hingga empat peratus dari nilai kontrak diperoleh.
"Pada Februari 2022, Sutracom menghantar tender kepada JKR. Nilai tender dihantar kepada JKR adalah RM605.2 juta dan JKR telah mengeluarkan SST pada Oktober 2022 kepada syarikat Sutracom dengan nilai projek RM605.2 juta," katanya.
Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, sama ada wang RM19.5 juta itu derma, imbuhan atau balasan dan Shahradzi menjawab"balasan”.
Saksi itu turut mengakui bahawa wang RM19.5 juta adalah jumlah yang besar dan beliau juga tidak pernah memberikan sumbangan kepada parti politik lain.
Shahradzi berkata, sekiranya RM19.5 juta itu tidak disumbangkan kepada Bersatu wang berkenaan akan digunakan untuk kos operasi (syarikat), simpanan, membeli aset dan menyelesaikan hutang-hutang syarikatnya.
Menurut saksi itu, Azman tidak menetapkan cara bagaimana wang tersebut disalurkan sama ada melalui bayaran cek atau tunai.
"Saya menyerahkan sendiri cek ini di kaunter penyerahan pejabat Bersatu di Petaling Jaya. Penerima cek berkenaan hanyalah kakitangan Bersatu dan saya tidak pernah menyerahkan cek kepada mana-mana pemimpin Bersatu," katanya.
Mengenai enam surat minat, Shahradzi berkata beliau menyediakan enam surat minat untuk menyertai projek tersebut dengan meminjam enam lesen syarikat kontraktor milik adik dan kenalannya.
Beliau berkata, surat itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada pemilik syarikat tersebut iaitu Multi Skilled Engineering Sdn Bhd, Majulia Sdn Bhd, ANR Venturs Sdn Bhd, Sejagat Bakti Sdn Bhd, Smart Reliance Sdn Bhd dan Sutracom Sdn Bhd kerana syarikat beliau tidak mempunyai lesen dan keupayaan mencukupi.
Saksi itu berkata, surat minat tersebut dihantar kepada Muhyiddin bagi mendapatkan sokongan beliau selaku Perdana Menteri ketika itu untuk menyertai tender prakelayakan pembinaan untuk projek berkenaan.
Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian merupakan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff berkaitan Projek Jana Wibawa.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Perbicaraan kes di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok. - Bernama