UMNO idam kerusi DUN Tebing Tinggi

Iklan
Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ipoh Timur yang berlangsung pada Ahad sebulat suara meluluskan usul agar diberi peluang bertanding di kerusi DUN Tebing Tinggi pada PRU16.

IPOH – UMNO Bahagian Ipoh Timur mahu calon dari parti itu diberi peluang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketetapan itu dibuat sebulat suara di dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Ipoh Timur dengan alasan langkah berkenaan merupakan formula terbaik bagi mengembalikan kemenangan BN di kerusi tersebut berdasarkan sentimen semasa serta kebolehmenangan parti.

Iklan
Iklan

Menurut usul berkenaan, calon yang dipilih perlu memiliki kewibawaan, berkelayakan tinggi serta mendapat keyakinan dan penerimaan majoriti pengundi tempatan.

"Formula untuk merampas dan memenangi kerusi ini menuntut BN meletakkan calon yang bukan sahaja berwibawa dan berkelayakan tinggi, malah diyakini sepenuhnya serta boleh diterima oleh majoriti pengundi tempatan," katanya.

Iklan

Mesyuarat tersebut disempurnakan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur, Datuk Azian Osman pada Ahad.

UMNO Bahagian Ipoh Timur turut berpandangan perubahan demografi pengundi dan sentimen semasa di DUN Tebing Tinggi memerlukan kepimpinan Melayu yang kompeten serta berupaya mewakili semua lapisan masyarakat.

Iklan

Menurut kenyataan itu lagi, rekod UMNO yang konsisten mendampingi rakyat tanpa mengira kaum menjadi asas kukuh untuk parti berkenaan diberikan mandat bertanding di kerusi tersebut.

Selain itu, UMNO Bahagian Ipoh Timur juga berpandangan rakyat di kawasan berkenaan kini memerlukan kepimpinan yang progresif, berdaya saing dan berkesan dalam mendepani cabaran politik, sosial serta ekonomi semasa.

Jelas usul itu, calon UMNO yang disokong jentera parti, logistik tersusun dan kekuatan akar umbi diyakini mampu memperkukuhkan peluang kemenangan BN serta memastikan pentadbiran yang lebih berkesan.

Sehubungan itu, UMNO Bahagian Ipoh Timur menggesa kepimpinan UMNO dan BN di peringkat negeri serta pusat menyusun semula dan memuktamadkan pembahagian kerusi PRU16 dengan memberikan DUN Tebing Tinggi kepada UMNO.

Menurutnya, keputusan pembahagian kerusi perlu dibuat berdasarkan fakta demografi pengundi, realiti sokongan semasa serta faktor kebolehmenangan parti bagi memastikan BN mampu meraih kemenangan pada pilihan raya akan datang.

Untuk rekod DUN Tebing Tinggi dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 menerusi Dr Abdul Aziz Bari dari DAP dengan majoriti 660 undi dalam pertembungan empat penjuru.

Pada PRU tersebut, PH memperoleh 11,286 undi mengatasi Perikatan Nasional (PN) menerusi calon Bersatu meraih 10,626 undi, manakala BN yang diwakili MCA (5,705) dan Pejuang (194).