Pas Shah Alam gesa kerajaan telus isu aplikasi TuJu

Iklan
Mohamed Sukri

SHAH ALAM – Kerajaan digesa mendedahkan secara terbuka kos pembangunan, proses pemilihan syarikat pemaju dan tahap keselamatan data aplikasi navigasi tempatan, TuJu susulan kontroversi penggunaannya.

Yang Dipertua Pas Kawasan Shah Alam, Mohamed Sukri Omar berkata, pengakuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kelemahan aplikasi itu belum menjawab persoalan lebih besar berkaitan tadbir urus dan kepentingan awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beberapa perkara masih memerlukan penjelasan kerajaan termasuk pelantikan syarikat pemaju tanpa melalui proses tender terbuka.

Beliau turut berpandangan aspek tadbir urus dan kemungkinan konflik kepentingan dalam kerjasama membangunkan aplikasi TuJu perlu diberikan perhatian sewajarnya.

Iklan

Menurutnya, kerajaan wajar menjelaskan secara terbuka prosedur berkaitan pelantikan pihak yang terlibat termasuk tempoh pelantikan dan sebarang kepentingan yang mungkin berkaitan dengan syarikat pemaju ketika kerjasama itu dimeterai.

Katanya, penjelasan itu penting bagi memastikan urusan itu dilaksanakan secara telus serta mengelakkan timbulnya persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Iklan

Selain itu, beliau mempersoalkan jaminan keselamatan dan perlindungan data pengguna sekiranya isu itu dijadikan antara alasan untuk beralih daripada aplikasi navigasi luar negara seperti Waze.

"Adakah penilaian keselamatan siber secara bebas dilaksanakan dan pihak manakah yang mempunyai akses kepada data pergerakan pengguna?

"Semua persoalan ini bukan perkara remeh kerana ia menyentuh soal integriti pentadbiran, ketelusan pengurusan kepentingan awam serta keselamatan maklumat rakyat," ujar beliau.

Beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya hanya mengakui kelemahan teknikal aplikasi itu, sebaliknya perlu memberikan penjelasan menyeluruh mengenai proses pemilihan pemaju, tadbir urus dan kemungkinan konflik kepentingan yang dibangkitkan.

Menurutnya, kegagalan berbuat demikian boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran negara,l khususnya apabila kerajaan turut menekankan kepentingan integriti, ketelusan dan tadbir urus baik.

Dalam pada itu, katanya, Pas Shah Alam menyokong usaha memboikot produk serta perkhidmatan yang mempunyai kaitan dengan negara penjajah sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.

Mohamed Sukri berkata, pihaknya turut menyambut baik pembangunan teknologi tempatan sebagai alternatif kepada aplikasi luar negara bagi mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi asing.

Bagaimanapun, katanya, sokongan terhadap usaha boikot dan produk tempatan tidak bermakna kerajaan boleh terlepas daripada tanggungjawab menjelaskan persoalan yang dibangkitkan.

"Pas Shah Alam menggesa kerajaan mendedahkan secara telus asas pemilihan Prosignal, terma kerjasama dengan LLM, implikasi kewangan serta hasil penilaian keselamatan data aplikasi TuJu.

"Sekiranya terdapat asas munasabah untuk mengesyaki salah laku atau konflik kepentingan, siasatan bebas hendaklah dilaksanakan tanpa melindungi mana-mana pihak," tambah beliau.