TELUK INTAN – Bapa kepada remaja perempuan yang maut dalam kemalangan di Jalan Padang Tembak di sini pada Ahad mendesak hukuman setimpal dikenakan terhadap pemandu yang menyebabkan kehilangan dua nyawa.
Salim Husain, 43, yang kehilangan anak sulungnya itu meminta siasatan dijalankan secara telus dan adil bagi memberi pembelaan kepada Nur Dania Arissa, 17, yang maut dalam nahas tersebut.
Menurutnya, segala siasatan lanjut terhadap kejadian diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis.
"Saya difahamkan seorang lagi mangsa yang juga murid darjah satu berada dalam keadaan kritikal. Saya harap anak saya mendapat pembelaan yang sewajarnya," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Teluk Intan pada Isnin.
Salim berkata, Nur Dania Arissa yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini merupakan seorang anak yang ceria, aktif bersukan dan meminati bola sepak serta bola jaring.
Menurutnya, sejak beberapa hari sebelum kejadian, dia menyedari perubahan sikap anaknya yang lebih manja terhadap ibunya.
Mengimbau detik menerima khabar duka itu, Salim berkata, ketika kejadian dia sedang memotong pokok di rumah sebelum dimaklumkan isterinya bahawa Nur Dania Arissa terbabit dalam kemalangan.
"Saya terus berlari ke tempat kejadian yang hanya kira-kira 100 meter dari rumah. Bila sampai saya kenal motosikal itu dan nampak memang anak saya," katanya.
Terdahulu media melaporkan pemandu kereta yang dipercayai menyebabkan kemalangan mengorbankan dua remaja perempuan di Jalan Padang Tembak di sini pada Ahad disahkan positif dadah.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, perkara itu disahkan hasil saringan awal air kencing terhadap lelaki tempatan berusia 28 tahun itu.
Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan selepas didapati positif dadah jenis benzodiazepine dan disyaki memandu di bawah pengaruh bahan terlarang.
Dalam pada itu, seorang lagi bapa mangsa, Mohd Said Zaini, 55, turut berharap siasatan dilakukan secara adil bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan terhadap kematian anak bongsunya, Nur Atikah, 16.
Mohd Said berkata, kehilangan anak kesembilan daripada sembilan beradik itu amat sukar diterima memandangkan arwah seorang yang ceria, aktif bersukan dan sering menceriakan suasana keluarga.
"Saya harap pihak polis menyiasat dengan betul dan adil. Itu saja yang saya minta.
Mohd Said berkata, kenangan terakhir bersama arwah ialah ketika membawa anaknya ke sebuah ekspo pada malam sebelum kejadian.
Katanya, pada pagi kejadian, arwah meminta izin keluar rumah untuk mengambil pakaian milik rakannya sebelum berita kematian anaknya disampaikan oleh anak sulung.
"Saya terkejut. Baru sekejap dia keluar rumah. Saya terus pergi ke lokasi dan nampak dia sudah terlentang di tengah jalan," katanya.
Jenazah Nur Dania Arissa dan Nur Atikah dijangka dikebumi lepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Masjidut Taqwa, Kampung Padang Tembak di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan dua remaja perempuan maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Jalan Padang Tembak di sini petang semalam.
Nur Dania Arissa dan Nur Atikah masing-masing pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Setia dan SMK Raja Muda Musa.