MELAKA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan 5,069 kilogram sirip ikan yu yang dianggarkan bernilai RM8.36 juta dipercayai dibawa masuk dari Guyana, Amerika Selatan untuk pasaran tempatan.
Pengarah Kastam Melaka, Roslan Yusoff berkata, kegiatan itu dipercayai didalangi sebuah syarikat tempatan yang beralamat di Selangor, manakala pengarah syarikat berkenaan sedang dikesan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, rampasan dilakukan pada 2 Julai lalu selepas sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Melaka bersama Cawangan Narkotik Ibu Pejabat memeriksa sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor.
"Hasil semakan mendapati dagangan dalam kontena itu diikrarkan sebagai kulit ikan di bawah kod tarif yang dikenakan cukai lima peratus.
"Bagaimanapun, pemeriksaan fizikal menemukan 180 guni mengandungi 5,069 kilogram sirip ikan yu yang sepatutnya diikrarkan di bawah kod tarif berbeza dengan kadar cukai 10 peratus serta tertakluk kepada pemeriksaan dan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) serta Jabatan Perikanan Malaysia mengikut peruntukan CITES," katanya pada sidang media di sini, Isnin.
Beliau berkata, nilai sirip ikan yu yang dirampas dianggarkan RM7.6 juta dengan jumlah keseluruhan rampasan termasuk duti dan cukai sebanyak RM8.36 juta.
Katanya, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang mewakili syarikat ejen penghantaran dan menguruskan dokumen pengikraran dagangan telah ditahan bagi membantu siasatan sebelum dilepaskan dengan jaminan.
Beliau berkata, syarikat pengimport berkenaan dipercayai telah beroperasi kira-kira lima tahun dan mengimport pelbagai jenis barangan termasuk makanan laut.
"Pengarah syarikat masih dikesan, manakala siasatan turut dijalankan terhadap pembekal dari Guyana serta pihak yang membuat tempahan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian kegiatan ini.
“Modus operandi sindiket adalah membuat pengikraran palsu dengan mengisytiharkan muatan sebagai kulit ikan bagi mengelak pemeriksaan Maqis selain mengurangkan bayaran cukai,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang tak berkastam atau barang larangan.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM50,000, mengikut mana yang lebih tinggi, dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau RM500,000, mengikut mana yang lebih tinggi, atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.