WASHINGTON - Empat anggota tentera Amerika Syarikat (AS) terbunuh dan 207 lagi cedera sejak tentera negara itu menyambung semula pertempuran dengan Iran pada Julai, menurut statistik korban tentera yang dikemas kini Jabatan Pertahanan pada Ahad, lapor Xinhua.
Menurut Sistem Analisis Korban Pertahanan Pentagon, setakat 25 Julai, operasi ketenteraan AS"Epic Fury" terhadap Iran mengakibatkan 14 anggota tentera AS terbunuh dan 417 lagi cedera.
Pangkalan data itu baru-baru ini menambah kategori baharu"Operasi Luar Negara" yang merekodkan secara berasingan korban tentera AS sejak 7 Julai, dengan empat kematian dan 207 kecederaan.
Bagaimanapun, kategori baharu itu hanya menyenaraikan nama anggota yang terkorban tanpa memberikan butiran khusus seperti masa, lokasi atau punca kematian.
Walaupun keempat-empat anggota yang terkorban disahkan maut dalam konflik terbaharu AS-Iran, Jabatan Pertahanan masih belum mengesahkan sama ada kesemua anggota yang cedera mempunyai kaitan dengan konflik berkenaan.
Di bawah undang-undang AS, presiden secara amnya tidak boleh mengerahkan tentera AS dalam pertempuran selama lebih 60 hari tanpa kebenaran Kongres.
Menurut laporan media, pentadbiran Trump menghantar surat kepada Kongres pada 10 Julai yang menyatakan bahawa serangan Iran terhadap tiga kapal dagang yang melalui Selat Hormuz pada 7 Julai melanggar perjanjian gencatan senjata sebelum ini.
Berdasarkan perkara itu, Rumah Putih menetapkan 7 Julai sebagai tarikh bermulanya pusingan baharu pertempuran dengan Iran. - Bernama