PUTRAJAYA – Penguatkuasaan undang-undang semata-mata tidak mencukupi untuk menjamin keamanan, keharmonian sosial dan kesejahteraan rakyat, sebaliknya Malaysia memerlukan masyarakat yang berteraskan nilai moral, saling menghormati serta bersangka baik, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, selepas lebih tiga tahun menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN), beliau menyedari kementerian itu memikul amanah dan tanggungjawab yang besar bagi memastikan keamanan negara terus terpelihara.
"Semua itu tidak boleh kita capai dan pertahankan kalau hanya melalui penguatkuasaan undang-undang dan hukuman semata-mata.
"Kita perlukan asas moral yang kukuh. Kita perlukan sebuah masyarakat yang saling menghormati dan baik sangka," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN di sini pada Isnin.
Mengambil tafsir Surah al-Hujurat, Saifuddin berkata, manusia dijadikan berbangsa-bangsa, bersuku-suku, berbeza bahasa dan budaya dengan tujuan supaya mereka saling mengenali.
Beliau berkata, semangat itu amat penting dalam konteks Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama, lebih-lebih lagi ketika negara menghampiri sambutan ulang tahun kemerdekaan.
"Kalau masyarakat dalam negara kita boleh menghayati semangat ini, saya percaya separuh daripada hal yang berlaku dalam masyarakat hari ini akan dapat kita ubati," katanya.
Saifuddin turut memberi contoh bahawa persaudaraan bukan hanya terjalin sesama umat Islam yang berkongsi akidah, malah sesama manusia tanpa mengira kaum.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
Menurutnya, perkara itu turut ditekankan dalam Surah al-Hujurat dan menjadi aspek penting dalam tugas KDN, termasuk usaha menangani penyebaran maklumat yang sumbernya tidak dapat dipastikan tetapi tersebar secara meluas.
"Dalam tugas KDN, perkara ini sangat penting sampai kita turut bekerjasama dengan MCMC dalam menangani maklumat yang sumbernya tidak dapat dipastikan tetapi tersebar," katanya.