Tentera Israel ceroboh Quneitra di Syria, tahan orang awam

Iklan
Tentera Israel sekali lagi menceroboh kawasan luar bandar wilayah Quneitra di Syria pada Ahad dan menahan seorang orang awam selepas menyerbu rumahnya - Foto fail Anadolu

ISTANBUL - Tentera Israel sekali lagi menceroboh kawasan luar bandar wilayah Quneitra di Syria pada Ahad dan menahan seorang orang awam selepas menyerbu rumahnya, selain mara ke wilayah Daraa yang berjiran dalam pelanggaran terbaharu terhadap kedaulatan negara itu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.

Agensi berita rasmi Syria SANA melaporkan beberapa kenderaan tentera Israel memasuki kampung Western Samdaniyah di kawasan luar bandar utara Quneitra.

Iklan
Iklan

Tentera Israel menyerbu sebuah rumah, menahan seorang orang awam dan kemudian berundur dari kawasan itu, menurut agensi berkenaan.

Di wilayah Daraa, tentera Israel mara sebelum subuh menuju ke kampung Maariyah dan Al-Ardah di kawasan Lembangan Yarmouk, menurut stesen televisyen kerajaan Alikhbariah TV.

Iklan

Tiada ulasan segera daripada tentera Israel mengenai pencerobohan atau penahanan yang dilaporkan itu.

Sejak beberapa bulan lepas, selatan Syria menyaksikan pencerobohan dan serangan Israel berulang kali termasuk serbuan, pemeriksaan, penahanan serta penubuhan pusat pemeriksaan tentera.

Iklan

Aktiviti itu semakin meningkat selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024, apabila Israel mengisytiharkan bahawa perjanjian pemisahan 1974 tidak lagi berkuat kuasa dan mengambil alih kawalan zon penampan Syria. - Bernama