SEREMBAN - Sebanyak 473 daripada 499 permohonan penganjuran ceramah dan aktiviti kempen politik bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 diluluskan bagi tempoh 18 Julai hingga semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kesemua program dan aktiviti politik yang diluluskan itu dipantau oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
Beliau berkata, bagi tempoh sama, PDRM Negeri Sembilan menerima 33 laporan polis dan membuka 14 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya.
"Semalam, polis menerima lima laporan polis daripada orang awam, namun hasil siasatan lanjut tiada kertas siasatan dibuka berkaitan kesalahan pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alzafny berkata, setakat ini, situasi keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses pilihan raya berada pada tahap baik dan terkawal.
"Orang ramai diseru agar terus mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM di lapangan bagi memastikan PRN Negeri Sembilan berlangsung dalam suasana yang aman, harmoni dan teratur,” katanya.
Pengundian awal PRN Negeri Sembilan akan berlangsung esok, manakala hari mengundi ditetapkan pada 1 Ogos. - Bernama