KUALA TERENGGANU - Kerjasama politik yang dibina atas dasar kepentingan strategik semata-mata tanpa asas kepercayaan kukuh diumpamakan seperti ‘persefahaman kulit bawang’ yang amat rapuh dan mudah retak apabila berdepan cabaran semasa.
Pemerhati Politik dan Pembangunan Masyarakat, Prof Madya Dr Sahar Sa’di Hashim berkata, peribahasa 'tidur sebantal, mimpi lain-lain' jelas menggambarkan situasi kebanyakan gabungan politik hari ini yang kelihatan bersatu pada zahirnya, namun terpisah dari segi matlamat perjuangan.
Menurut beliau, fenomena persefahaman yang bersifat sementara itu selalunya mula terhakis sebaik sahaja parti-parti bertelingkah mengenai isu kepimpinan, pembahagian kerusi, identiti gabungan atau pertikaian jawatan.
"Apabila asas tidak dibina atas kepercayaan, perbezaan nada ceramah atau kenyataan media yang tersasar sudah cukup untuk mencetuskan krisis keyakinan yang memecahbelahkan gabungan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mencipta kejutan apabila mengumumkan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
PN melengkapkan kerjasama dengan BN apabila mengumumkan 11 calon gabungan itu yang akan bertanding pada PRN Negeri Sembilan yang bakal berlangung pada 1 Ogos depan.
Ia sekali gus melengkapkan jumlah keseluruhan 36 kerusi selepas BN mengumumkan bertanding di 25 kerusi.
Mengulas lanjut, Sahar menjelaskan, menurut Theory of Political Coalitions oleh William H Riker, gabungan politik yang terbentuk sekadar untuk memenuhi tuntutan pilihan raya lazimnya mempunyai tahap ketahanan yang sangat rendah berbanding koalisi berasaskan prinsip.
Katanya, sebahagian besar kerjasama tidak runtuh disebabkan kekurangan strategi, sebaliknya tewas kepada kegagalan menguruskan ego masing-masing.
"Keinginan menjadi parti dominan, perebutan logo, nama gabungan serta agihan kerusi sering kali menguasai agenda melebihi kepentingan rakyat.
"Apabila ego mengatasi hikmah dan sentimen mengatasi rasional, dialog bertukar menjadi pertelingkahan secara terbuka," katanya.
Beliau turut menekankan bahawa dalam perspektif Islam, sesuatu persefahaman mestilah diikat atas dasar kebajikan dan ketakwaan, seperti yang dituntut dalam Surah al-Ma’idah, ayat 2.
Malah katanya, perumpamaan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim mengenai hubungan umat Islam ibarat 'sebuah bangunan yang saling menguatkan' sepatutnya menjadi acuan utama dalam membina muafakat.
"Ini amat berbeza dengan watak kulit bawang. Bangunan berdiri kerana asas dan tiangnya kukuh, manakala kulit bawang mudah koyak kerana tiada kekuatan struktur yang sebenar," ujarnya lagi.
Tambah beliau, lanskap politik semasa menyaksikan rakyat semakin matang dan tidak lagi mudah terpedaya dengan retorik atau slogan manis di pentas ceramah.
Justeru, beliau mengingatkan pemimpin politik agar mengutamakan penyelesaian masalah rakyat berbanding terus bermain sandiwara di media.
"Rakyat memerhati sama ada sesebuah kerjasama itu benar-benar mampu bertahan apabila diuji.
"Keutuhan kerjasama politik tidak diukur menerusi kerapnya sidang media diadakan, tetapi melalui kemampuan untuk kekal bersatu secara jujur apabila berdepan perbezaan. Politik negara memerlukan kurang retorik, dan lebih kepada solusi," katanya.