SHAH ALAM - Sudah tiba masa bekas anggota tentera ditempatkan sebagai warden sepenuh masa di sekolah bagi menangani isu buli yang semakin membimbangkan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, selain membuka peluang pekerjaan kepada golongan veteran, pendekatan itu diyakini mampu meningkatkan tahap disiplin pelajar berdasarkan kejayaan projek rintis yang dilaksanakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Menurutnya, Mara bersedia berkongsi dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hasil laporan kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai keberkesanan Projek Rintis Pelantikan Warden Luar Sepenuh Masa dalam kalangan bekas tentera di MRSM yang dilaksanakan selama sembilan bulan.
"Pemantauan juga lebih konsisten selain tindak balas terhadap isu kebajikan dan keselamatan pelajar lebih pantas, manakala suasana asrama menjadi lebih selamat, kemas dan kondusif," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Asyraf Wajdi memaklumkan, pelaksanaan inisiatif itu turut memberi kesan positif kepada guru kerana mereka tidak lagi terbeban dengan tugas warden, sekali gus dapat memberi tumpuan kepada tanggungjawab hakiki sebagai pendidik.
Malah menurutnya, pencapaian akademik juga menunjukkan peningkatan selain menerima maklum balas sangat positif daripada pelajar berdasarkan tinjauan dan lawatan lapangan.
Antara kriteria bekas tentera yang dikenal pasti berkesan sebagai warden ialah mempunyai pengalaman dalam disiplin dan keselamatan, tahap kesihatan yang baik, tegas tetapi berhemah serta mampu bertindak pantas dalam situasi berisiko.
"Gabungan elemen ketegasan dan nilai keibubapaan ini menjadikan mereka bukan sekadar warden tetapi pembimbing dan pendidik kepada anak-anak di asrama,” ujarnya.
Mengulas lanjut Asyraf Wajdi berkata, berdasarkan dapatan kajian itu, Mara telah membuat ketetapan memperluaskan pelaksanaan inisiatif berkenaan ke 10 lagi MRSM bermula bulan lalu sebagai langkah pengukuhan awal sebelum diperluaskan ke semua 58 MRSM di seluruh negara bermula Januari tahun hadapan.
Beliau menjelaskan, pihaknya juga telah meminta pasukan UPM yang diketuai Profesor Dr Haslinda membangunkan modul latihan khusus kepada bakal warden bagi memberi penekanan terhadap aspek disiplin, keselamatan, nilai kemanusiaan, empati dan keibubapaan.
Sementara itu beliau berpandangan, ramai bekas anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan sekitar usia 38 hingga 45 tahun masih berada dalam fasa produktif dan boleh dimanfaatkan untuk menyertai sektor pendidikan menerusi proses peningkatan kemahiran dan latihan semula.
Menurutnya, pendekatan itu juga boleh menjadi antara alternatif dalam menangani isu kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya veteran tidak berpencen yang menamatkan perkhidmatan ketika masih produktif tetapi tidak menikmati pencen bulanan bergantung kepada tempoh perkhidmatan yang diiktiraf.