TERLEBIH dahulu tahniah diucapkan kepada biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin atas penganugerahan Ijazah Sarjana Kehormat Seni Kreatif dan Media oleh Sunway University baru-baru ini.
Jika diikutkan, pengiktirafan sememangnya layak. Selama lebih 30 tahun dalam industri, pelbagai kejayaan diraih hasil bakat, kerja keras dan komitmen.
Daripada anugerah dalam dan luar negara, jualan album membanggakan, konsert mendapat sambutan, sehinggalah kejayaan sebagai usahawan, bukti kejayaan tidak datang dengan mudah.
Namun, seperti kebiasaan apabila seseorang mencapai tahap yang tinggi, bukan semua akan berasa gembira. Ada juga yang mempersoalkan dan mempertikaikan pengiktirafan diberikan kepadanya.
Namun, yang bagusnya Siti Nurhaliza tidak memilih menjawab setiap kecaman dengan kemarahan. Sebaliknya, membalasnya dengan prestasi, profesionalisme dan pencapaian yang lebih besar.
Reaksinya terhadap penganugerahan tersebut cukup matang apabila beliau berkata:
“Apa jua yang saya terima, tak pernah terfikir kerana hanya menjalankan tugas selama ini, apa yang datang selepas itu, saya syukuri,” kongsi Siti ringkas.
Mungkin bagi sesetengah pihak, kenyataan itu kedengaran klise. Namun jika diperhalusi, mesej yang ingin disampaikan cukup jelas.
Beliau tidak bercakap tentang populariti atau kemasyhuran dimiliki, sebaliknya menekankan tentang ‘tugas’ iaitu tanggungjawab, nilai dan usaha berterusan memartabatkan industri kreatif negara.
Di sinilah pengajaran yang boleh diambil generasi muda. Kejayaan Siti Nurhaliza hari ini dibina melalui disiplin, kesungguhan dan kemampuan untuk terus memperbaiki diri walaupun sudah berada di puncak.
Justeru, persoalan sebenar bukanlah mengapa ada yang panas hati dengan Siti Nurhaliza. Sebaliknya, apakah yang boleh dipelajari daripada kejayaannya?
Jawapannya cukup ringkas, jadilah insan berjiwa besar. Terus berusaha walaupun dipersoalkan. Terus melangkah walaupun dikritik. Paling penting, biarkan hasil kerja serta pencapaian menjadi jawapan kepada segala ketidakpuasan hati segelintir pihak.
Satu perkara lagi, manusia sering mencemburui kejayaan orang lain tetapi sering terlupa melihat di sebalik tabir apa yang dilalui selama ini.