SETIAP kali berbicara tentang kenderaan elektrik (EV), naratif yang sering diketengahkan ialah penjimatan kos. Tidak perlu lagi beratur di stesen minyak, kos penyelenggaraan lebih rendah dan caj elektrik dikatakan jauh lebih murah berbanding petrol.
Gambaran ini menyebabkan ramai pengguna percaya bahawa memiliki EV adalah jalan pintas untuk mengurangkan perbelanjaan bulanan. Namun, realitinya tidak semudah itu.
Perkongsian pempengaruh Bryan Lee yang mendakwa menjual Honda Civic untuk membeli Tesla sebelum akhirnya menyesal apabila bil elektrik rumah melonjak hampir RM700 sebulan menjadi satu pengajaran kepada bakal pembeli EV.
Lebih menarik, beliau akhirnya membuat keputusan membeli semula sebuah kereta petrol iaitu Perodua Myvi, bagi kegunaan harian kerana mendapati lebih praktikal dan menjimatkan.
Kes seperti ini bukan bermaksud EV adalah teknologi yang gagal. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa ramai pengguna membeli EV berdasarkan persepsi dan pemasaran, bukannya membuat pengiraan menyeluruh terhadap kos sebenar pemilikan.
Ramai terlupa bahawa mengecas EV di rumah bukanlah menggunakan elektrik secara percuma. Semakin tinggi penggunaan elektrik bulanan, semakin besar kemungkinan pengguna memasuki blok tarif yang lebih mahal.
Jika sebuah keluarga sudah mempunyai penggunaan elektrik yang tinggi akibat pendingin hawa, pemanas air, mesin pengering pakaian dan pelbagai peralatan elektrik lain, penambahan sebuah EV boleh menyebabkan bil elektrik melonjak dengan ketara.
Ironinya, ramai hanya membandingkan kos mengecas dengan harga mengisi minyak, tetapi mengabaikan faktor lain seperti pemasangan pengecas rumah, penyelenggaraan sistem elektrik, kemungkinan naik taraf pendawaian serta perubahan struktur tarif elektrik.
Lebih mencabar, apabila timbul keinginan untuk menjual semula EV, pemilik berdepan satu lagi realiti yang kurang dibincangkan iaitu susut nilai.
Pasaran EV terpakai masih berkembang dan harga jualan semula boleh berubah dengan cepat, terutama apabila pengeluar memperkenalkan model baharu atau menawarkan potongan harga yang agresif.
Inilah dilema yang dihadapi ramai pemilik EV. Mereka membeli dengan harapan dapat menjimatkan kos, tetapi apabila mahu menjual, nilai kenderaan tidak seperti yang dijangkakan. Akhirnya, mereka terpaksa menanggung kerugian atau terus menggunakan kenderaan tersebut walaupun kos pemilikan tidak lagi memenuhi jangkaan awal.
Dalam masa sama, tidak adil juga untuk terus menyalahkan EV. Bagi mereka yang mempunyai sistem solar di rumah, akses kepada pengecas di tempat kerja atau menikmati kadar elektrik yang lebih rendah, EV masih mampu memberikan penjimatan yang ketara.
Malah, bagi pemandu yang melakukan perjalanan jauh setiap hari, perbezaan kos tenaga berbanding petrol masih boleh menjadi signifikan. Persoalannya bukan sama ada EV baik atau buruk, tetapi sama ada ia benar-benar sesuai dengan corak penggunaan seseorang.
Kesilapan terbesar ialah membeli kerana terpengaruh dengan trend atau media sosial. Ada yang melihat video individu berjimat ribuan ringgit setahun tanpa menyedari gaya hidup, jarak perjalanan dan kadar penggunaan elektrik mereka jauh berbeza.
Setiap isi rumah mempunyai corak penggunaan tenaga yang unik. Apa yang menjimatkan bagi seorang pengguna belum tentu memberi manfaat kepada pengguna lain. Begitu juga dengan pilihan kenderaan.
Ada yang lebih sesuai menggunakan EV sepenuhnya, ada yang lebih praktikal menggunakan kereta petrol dan tidak kurang juga yang mendapat manfaat melalui gabungan kedua-duanya.
Kisah Bryan Lee sepatutnya menjadi peringatan bahawa setiap keputusan membeli kenderaan perlu dibuat berdasarkan fakta, pengiraan dan keperluan sebenar, bukannya semata-mata dipengaruhi persepsi atau trend semasa.
Teknologi sentiasa berkembang, tetapi kebijaksanaan pengguna tetap menjadi faktor paling penting. Sebelum menukar kereta kerana mengejar teknologi terkini, lakukan dahulu pengiraan kos pemilikan secara menyeluruh. Kadangkala, teknologi paling canggih bukanlah pilihan paling menjimatkan untuk semua orang.
Influencer kata jimat, terus percaya. Video TikTok tunjuk kos cas RM20, terus bayangkan hidup akan berubah!
*Azmi Tarmizi ialah Editor Eksekutif di Sinar Harian. Anak jati Felda Soeharto ini pernah menjadi SU Akhbar Perdana Menteri kesembilan