Dua jiran warga asing direman kes kematian budak lima tahun

Iklan
Seorang lelaki dan seorang wanita warga asing direman bagi membantu siasatan berkaitan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun.

GEORGE TOWN - Seorang lelaki dan seorang wanita warga asing direman bagi membantu siasatan berkaitan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Gelugor, di sini Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki dan wanita berusia lingkungan 30-an itu, yang juga jiran kanak-kanak terbabit ditahan pada Jumaat.

Iklan
Iklan

"Susulan penahanan mereka, polis kini telah menahan empat individu bagi membantu siasatan termasuk ibu kanak-kanak lelaki terbabit dan teman lelakinya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan bedah siasat, kanak-kanak itu didapati meninggal dunia akibat cedera pada kepala dan badan akibat hentakan tumpul.

Iklan

Sehubungan dengan itu, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh dan polis juga sedang merekodkan keterangan beberapa individu lain bagi melengkapkan siasatan.

Sebelum ini perintah reman terhadap ibu kanak-kanak terbabit, yang berusia 30 tahun dan teman lelakinya berusia 34 tahun dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi hingga 30 Julai ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Iklan

Dilaporkan kejadian itu terbongkar selepas lelaki warga Bangladesh yang tidak bekerja tersebut mendapati kanak-kanak itu muntah di pangsapuri disewa mereka di Gelugor kira-kira 10 pagi Khamis.

Dia kemudian membawa kanak-kanak itu ke sebuah klinik berhampiran ketika ibu mangsa sedang bekerja di sebuah restoran, namun, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri ketika di klinik lalu dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia dan petugas hospital membuat laporan polis selepas menemukan kesan lebam pada beberapa bahagian badan kanak-kanak itu.

Kanak-kanak itu difahamkan anak kepada wanita warga Indonesia itu hasil perkahwinannya dengan seorang lelaki Rohingya yang meninggal dunia tahun lepas. - Bernama