SHAH ALAM - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyifatkan kenyataan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ronnie Liu Tian Khiew yang mendakwa hanya Orang Asli merupakan penduduk asal negara ini manakala etnik lain berasal dari luar, sebagai mengelirukan serta berpotensi menimbulkan salah faham terhadap sejarah pembentukan Malaysia.
Pemangku Presidennya, Borhan Ahmad Zakaria berkata, walaupun isu migrasi manusia boleh dibincangkan dari sudut akademik dan antropologi prasejarah, kenyataan sedemikian tidak wajar dibawa ke ruang politik tanpa konteks yang lengkap.
Menurutnya, kenyataan itu bersifat terlalu umum sehingga boleh mengelirukan masyarakat mengenai sejarah negara serta semangat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Tiada siapa menafikan sejarah migrasi manusia. Kajian sejarah dan antropologi menunjukkan bahawa manusia, termasuk orang Melayu, Orang Asli serta masyarakat di Sabah dan Sarawak, mempunyai sejarah pergerakan dan penempatan yang panjang.
"Namun, hak seseorang sebagai warganegara Malaysia hari ini tidak ditentukan oleh siapa yang tiba terlebih dahulu beribu-ribu tahun lalu. Ia ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan dan kesetiaan kepada negara. Apa sumbangan Ronnie Liu kepada negara?" katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Borhan berkata, kenyataan itu turut mengabaikan hakikat bahawa orang Melayu di Tanah Melayu telah lama memiliki institusi pemerintahan, sistem perundangan, adat istiadat serta tamadun yang berkembang sejak berabad-abad di Nusantara.
Beliau berkata, kewujudan Kesultanan Melayu Melaka, Johor-Riau, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Negeri Sembilan membuktikan tamadun Melayu telah mempunyai institusi raja, sistem pentadbiran serta hubungan diplomatik yang tersusun.
"Atas asas sejarah itulah Raja-Raja Melayu diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan, bukannya diwujudkan selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
"Kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera yang termaktub di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan juga bukan berdasarkan siapa yang tiba terlebih dahulu, sebaliknya merupakan sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan yang dipersetujui ketika negara mencapai kemerdekaan," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sekiranya status sesuatu kaum hanya diukur berdasarkan siapa yang datang paling awal, hampir semua masyarakat di dunia hari ini boleh dipersoalkan kerana sejarah manusia sememangnya berkait rapat dengan penghijrahan.
"Bagaimanapun, hakikat bahawa orang Melayu merupakan pribumi asal di negara ini tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak," katanya.