TEHERAN - Konflik Iran-Amerika Syarikat (AS) kini merebak ke Laut Kaspia selepas Teheran mendakwa kapal komersialnya menjadi sasaran serangan Ukraine yang turut meragut satu nyawa.
Kiev yang masih berperang dengan Rusia kini turut terheret dalam ketegangan di Asia Barat.
Namun, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut tentang kapal yang terlibat.
Kementerian Luar Iran kemudiannya memanggil kuasa usaha Ukraine di Teheran bagi menyampaikan bantahan terhadap apa yang disifatkan mereka sebagai serangan 'bermotif jahat dan jenayah'.
Sejak Sabtu lalu, situasi di rantau Teluk dilaporkan agak reda selepas Washington menghentikan sementara kempen pencerobohan mereka ke atas Iran susulan insiden serangan dilancarkan kumpulan Huthi ke atas kemudahan minyak Arab Saudi di sepanjang pantai Laut Merah.
Tentera AS dalam satu kenyataan memaklumkan 'sekatan maritim' ke atas Teheran kekal berkuat kuasa, namun tidak menjelaskan sebab serangan dihentikan sementara selepas menggempur Iran selama 13 hari berturut-turut.
New York Times yang memetik dua sumber rapat melaporkan Presiden Donald Trump sekali lagi membuat pusingan U apabila memutuskan untuk tidak meneruskan rancangan serangan lebih agresif terhadap Iran.
"Presiden dan penasihatnya bimbang konflik yang semakin meluas boleh menjejaskan simpanan pertahanan AS, menggugat hubungan Washington dengan sekutu di Teluk Parsi dan memberi kesan terhadap bekalan tenaga serta ekonomi global," menurut laporan itu lagi. - Agensi