Lelaki hilang ketika mendaki sejak 15 tahun lalu ditemui tinggal rangka

Iklan
Pihak berkuasa Arizona mengesahkan mayat berkenaan adalah milik William Anthony Ott, 65, yang dilaporkan hilang ketika menjalani pendakian di Grand Canyon pada 2012. Gambar

LOS ANGELES – Misteri kehilangan seorang lelaki yang melakukan pendakian solo di Grand Canyon, Arizona sejak hampir 15 tahun lalu akhirnya terungkai apabila mayatnya ditemukan di kawasan itu pada Disember tahun lalu.

Pihak berkuasa Arizona mengesahkan mayat berkenaan adalah milik William Anthony Ott, 65, yang dilaporkan hilang ketika menjalani pendakian di Grand Canyon pada 2012.

Iklan
Iklan

Menurut Pejabat Sheriff Coconino County, Ott dilaporkan hilang pada Mei 2012 selepas gagal pulang daripada ekspedisi pendakian yang dilakukannya secara bersendirian.

Susulan kehilangan itu, operasi mencari dan menyelamat dijalankan membabitkan beberapa agensi termasuk Perkhidmatan Taman Negara serta Jabatan Keselamatan Awam Arizona, namun usahanya tidak berjaya menemukan mangsa ketika itu.

Iklan

Mayat lelaki berkenaan akhirnya ditemukan oleh anggota Suku Hualapai di kawasan yang menjadi lokasi permulaan operasi pencarian sebelum ini.

Identiti mangsa kemudian disahkan menerusi analisis asid deoksiribonukleik (DNA), menurut pihak berkuasa.

Iklan

Berdasarkan maklumat Sistem Orang Hilang dan Tidak Dikenali Kebangsaan (NamUs), Ott memulakan pendakian solo selama tiga minggu di kawasan terpencil dalam kawasan simpanan Orang Asli Hualapai pada 5 April 2012.

Dia dijadualkan menamatkan pendakian dan pulang pada 28 April, namun gagal berbuat demikian sebelum dilaporkan hilang 12 hari kemudian.

Rakan mangsa, Scott Thybony berkata, Ott merupakan seorang pendaki berpengalaman yang pernah menghabiskan 78 hari menjelajah keseluruhan Grand Canyon pada 1981.

Menurutnya, Ott dipercayai sedang mencari panel seni batu purba berusia ribuan tahun di kawasan terpencil Grand Canyon ketika dilaporkan hilang.

“Dia kembali ke Arizona hampir setiap tahun untuk mendaki Grand Canyon dan mencari seni batu purba selepas menetap secara luar jaringan di Oregon.

“Mayatnya ditemukan di kaki tebing setinggi kira-kira 15 kaki (empat meter), namun beg galas utamanya tidak ditemui,” katanya.

Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mendedahkan punca kematian Ott. - Agensi