Karnival Bijak Tenaga tingkat kefahaman peranan ST

Iklan
Asri (empat dari kiri) bersama Mohammad Nizar (lima dari kiri) bersama pemenang Wira Bijak Tenaga sempena Karnival Bijak Tenaga 2026 yang berlangsung di Stadium Indera Mulia pada Ahad.

IPOH - Karnival Bijak Tenaga 2026 yang julung kali dianjurkan Suruhanjaya Tenaga (ST) bertujuan memberi kefahaman mengenai peranan ST sebagai badan kawal selia sektor elektrik dan gas berpaip negara.

Pengerusi ST, Datuk Seri Asri Hamidon berkata, ia merupakan antara usaha yang dilaksanakan bagi mendekati masyarakat secara lebih inklusif melalui pendekatan pendidikan serta hiburan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang dua hari penganjuran bagi membantu pengguna untuk lebih peka terhadap aspek keselamatan, kecekapan tenaga serta perkembangan industri tenaga.

"Karnival ini bertujuan memberi peluang kepada segenap lapisan masyarakat mengenali dan memahami fungsi ST sebagai badan kawal selia sektor elektrik dan gas berpaip negara serta perkembangan sektor tenaga dalam suasana santai.

Iklan

"Kita mahu orang ramai mendapatkan penjelasan mengenai perkhidmatan ST, perkembangan industri pembekalan elektrik negara, insentif kerajaan berkaitan kecekapan tenaga dan tenaga boleh baharu serta meneroka peluang pendidikan dan kerjaya dalam sektor tenaga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Bijak Tenaga ST 2026 di Stadium Indera Mulia di sini pada Ahad.

Iklan

Karnival tersebut disempurnakan Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mewakili Menteri Besar Perak.

Asri berkata, sepanjang 25 tahun penubuhannya, ST memainkan peranan penting memastikan bekalan elektrik negara kekal selamat, berdaya harap dan ditawarkan pada harga yang kompetitif.

Katanya, penganjuran karnival itu menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kecekapan tenaga, keselamatan elektrik dan agenda peralihan tenaga melalui pendekatan yang mudah difahami.

Menurut beliau, pengunjung turut berpeluang mengunjungi reruai pameran rakan strategik ST seperti Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Sementara itu Ketua Seksyen Komunikasi Strategik ST, Veliana Ruslan berkata, karnival tersebut berjaya menghimpunkan hampir 15,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya.

“Alhamdulillah, kehadiran sangat memberangsangkan. Sasaran asal hanya 5,000 pengunjung, namun kini kita telah melepasi 10,000 dan menghampiri 15,000 pengunjung.

Beliau berkata, karnival berkenaan menampilkan pelbagai aktiviti interaktif bagi meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai peranan dan fungsi ST, khususnya berkaitan kecekapan tenaga, keselamatan elektrik dan tarif.

Katanya, antara tarikan utama ialah Rumah Bijak Tenaga yang mempamerkan konsep kediaman lengkap dengan ruang tamu dan ruang makan bagi memberi pendedahan mengenai penggunaan elektrik secara cekap dan selamat.

“Selain itu, kita turut mengadakan sesi perkongsian ilmu oleh pegawai ST, pameran reruai interaktif, demonstrasi penggunaan peralatan cekap tenaga, cabutan bertuah serta persembahan artis.

“Kita juga membawa finalis pertandingan Wira Bijak Tenaga yang dipilih daripada lebih 62,000 penyertaan di seluruh negara,” katanya.

Menurut beliau, karnival itu turut memberi pendedahan mengenai laluan kerjaya dalam sektor tenaga melalui penyertaan institusi TVET Suruhanjaya Tenaga (STCE) selain mempamerkan usaha penguatkuasaan terhadap perlombongan Bitcoin secara haram dengan kerjasama pasukan SEAL Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau berkata, pendekatan tersebut bertujuan menyampaikan maklumat kepada masyarakat secara lebih santai dan mudah difahami.