PRN Negeri Sembilan: Pusingan pertama kempen sengit, ramai 'pemain utama' parti dah turun padang

Iklan
Anwar (kiri), Aminuddin dan Muhyiddin

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini boleh dianggap antara pilihan raya paling sibuk buat puluhan pengamal media yang berkampung di sini sejak hari penamaan calon pada 18 Julai lalu.

Mana tidaknya, seawal minggu pertama kempen, pemimpin utama daripada setiap parti yang berperanan sebagai 'pemain utama' sudah turun padang bagi membantu calon masing-masing.

Iklan
Iklan

Sebahagian daripada mereka yang memegang jawatan Menteri dan Timbalan Menteri semestinya memberi kelebihan kepada setiap parti.

Kehadiran mereka sejak awal membuktikan pertembungan kali ini bukan sekadar soal mempertahankan atau merampas kuasa, sebaliknya menjadi medan penting yang bakal menentukan hala tuju politik setiap gabungan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Iklan

Jika diibaratkan dalam dunia bola sepak, persaingan kali ini tidak ubah seperti aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) membabitkan Manchester United menentang Liverpool.

Bezanya, gelanggangnya ialah Negeri Sembilan dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai 'pasukan merah', manakala gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tampil sebagai 'pasukan biru'.

Iklan

Tidak keterlaluan jika dikatakan dalam 'perlawanan' kali ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak begitu menonjol meskipun mempertaruhkan calon di 24 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap optimis mampu mencipta kejutan dengan menawarkan beberapa tawaran manifesto yang menarik, antaranya memberikan peruntukan secara adil kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa mengira parti sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri.

Jika dibandingkan antara PH dan BN-PN, PH yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat masih memiliki sedikit kelebihan kerana statusnya sebagai penyandang kerajaan negeri selain mendapat sokongan kepimpinan Kerajaan Persekutuan.

Rekod pentadbiran yang dianggap memuaskan serta imej Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang sederhana dan mudah didekati menjadi antara aset utama PH untuk mempertahankan Negeri Sembilan.

BN pula tampil dengan strategi berbeza apabila menjalinkan persefahaman taktikal bersama PN, sekali gus membawa naratif penyatuan pengundi Melayu.

Kerjasama itu juga dilihat memudahkan kedua-dua gabungan berkempen secara bersama dan mengelakkan pertembungan sesama sendiri.

Situasi itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada PH. Ia dapat dilihat apabila beberapa pemimpin PH mula bersuara dengan mendakwa naratif penyatuan Melayu yang dibawa BN-PN berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk serta menghidupkan sentimen perkauman.

Namun, naratif tersebut dijangka tidak memberi kesan yang sama kepada pengundi bukan Melayu yang lazimnya lebih menilai aspek prestasi pentadbiran, kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan berbanding sentimen kaum.

Sementara itu, krisis institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, yang sebelum ini dijangka menjadi antara isu utama kempen, ternyata tidak begitu menonjol sepanjang minggu pertama.

Sebaliknya, perhatian lebih tertumpu kepada tawaran manifesto yang telah pun diumumkan oleh setiap gabungan parti yang antara lain memberi tumpuan soal kos sara hidup, pembangunan setempat, peluang pekerjaan dan keupayaan setiap gabungan mentadbir negeri.

Berbaki kurang seminggu tempoh berkempen, tiada gabungan yang boleh berasa terlalu selesa,rentak kempen perlu diperhebatkan.

PH pastinya memikul tekanan lebih besar kerana perlu mempertahankan Negeri Sembilan, manakala BN-PN pula mahu memastikan momentum yang sedang dibina berjaya diterjemahkan kepada sokongan di peti undi.

Fasa akhir kempen dijangka menjadi penentu apabila setiap gabungan menggandakan usaha memujuk pengundi atas pagar, khususnya di kerusi-kerusi marginal yang berpotensi menentukan pembentukan kerajaan negeri.

Dalam tempoh ini juga, setiap calon dan pemimpin parti perlu lebih berhati-hati ketika berkempen.

Sebarang kenyataan yang mengundang kontroversi, kesilapan strategi atau isu yang berjaya dimanipulasi pihak lawan mampu menjadi 'peluru politik' pada saat-saat akhir dan akhirnya mempengaruhi kecenderungan pengundi pada hari pengundian.