JIM Sabah nafi dakwaan depot sesak hingga tahanan meninggal dunia

Iklan
Sitti Saleha berkata, pihaknya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular di media sosial itu.

KOTA KINABALU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah tampil menafikan dakwaan depot tahanan di negeri ini dalam keadaan sesak sehingga menyebabkan ramai tahanan warga Filipina meninggal dunia.

Pengarahnya, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pihaknya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular di media sosial itu.

Iklan
Iklan

"Gambar-gambar yang tular di media sosial tersebut bukan merupakan gambar yang merujuk kepada mana-mana depot tahanan imigresen di bawah seliaan JIM Sabah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya lagi, semua tahanan warga Filipina yang ditempatkan di depot tahanan imigresen Sabah berada dalam keadaan baik sementara menunggu proses penghantaran pulang ke negara asal.

Iklan

"Sepanjang tempoh tahanan, semua penghuni depot diberikan layanan dan perlindungan sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang serta prosedur operasi yang berkuat kuasa.

"Tahanan turut diberikan kemudahan asas termasuk penyediaan makanan mengikut jadual yang ditetapkan serta mematuhi menu dan ketetapan nutrisi yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut keperluan orang dewasa dan kanak-kanak.

Iklan

"Selain itu, tahanan turut diberikan akses kepada rawatan perubatan apabila diperlukan serta keperluan asas lain mengikut keperluan," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa proses penghantaran pulang tahanan warga Filipina melalui operasi kapal dari Sandakan ke Zamboanga, yang sebelum ini merupakan laluan utama repatriasi, telah digantung operasinya oleh pihak berkuasa negara tersebut sejak Februari 2026.

"Keadaan ini telah memberi kesan kepada kelancaran proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal.

"Bagi memastikan proses repatriasi terus dilaksankan, JIM Sabah menggunakan laluan alternatif iaitu melalui penerbangan dari Kota Kinabalu ke Manila serta laluan laut dari Lahad Datu ke Bongao. 

"Bagaimanapun, pelaksanaan penghantaran pulang melalui laluan alternatif ini adalah tertakluk kepada persetujuan keluarga tahanan untuk menanggung kos perjalanan berkenaan," katanya.

SH Sitti Saleha berkata, JIM Sabah sentiasa komited untuk memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan semua tahanan terus terpelihara di samping melaksanakan proses penghantaran pulang mengikut undang-undang, prosedur yang ditetapkan serta kerjasama erat dengan pihak berkuasa Republik Filipina.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai atau menyebarkan sebarang maklumat, gambar atau kandungan yang tidak sahih dan mengelirukan. 

"Orang ramai juga disaran mendapatkan maklumat yang tepat hanya melalui saluran rasmi JIM," katanya.