Minta tolong ambil gambar, pemuda terkejut jumpa saudara hilang puluhan tahun

Iklan
Chen (kiri) tidak menyangka lawatan kerjanya menyatukan semula dia dengan saudara yang lama terpisah. Foto/ Douyin.

SHANGHAI - Permintaan ringkas untuk membantu mengambil gambar bertukar menjadi detik penuh emosi apabila seorang pemuda di China tidak sengaja menemukan semula saudara keluarganya yang terpisah sejak puluhan tahun.

Memetik South China Morning Post, pengalaman luar biasa itu dikongsikan oleh Chen Jie menerusi hantaran media sosial.

Iklan
Iklan

Pada 9 Julai lalu, Chen Jie yang menetap di Shanghai menghadiri urusan kerja di wilayah Yunnan, barat daya China.

Ketika mempunyai masa terluang, dia sempat melancong ke Tasik Lugu iaitu sebuah destinasi pelancongan terkenal di wilayah berkenaan.

Iklan

Kira-kira jam 6 pagi ketika dia menikmati pemandangan matahari terbit di tepi tasik, seorang pelancong yang jauh lebih berusia daripadanya meminta bantuan untuk mengambil gambar.

Mereka kemudian berbual dan Chen Jie mengetahui lelaki itu berasal dari Kaohsiung, Taiwan.

Iklan

Namun, kampung asalnya ialah Puyuan, pekan kecil di Tongxiang, wilayah Zhejiang di timur China.

"Kami bertukar maklumat di media sosial dan saya mendapati dia mempunyai nama keluarga Fei," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Maklumat peribadi Fei membuatkan Chen Jie mula mengesyaki lelaki itu mungkin mempunyai pertalian keluarga dengannya sebelum dia berkongsi perkara itu kepada bapanya.

Bapanya meminta Chen Jie menyemak sama ada bapa Fei bernama Fei Yunfeng dan jawapan positif daripada Fei akhirnya mengesahkan mereka sebenarnya saudara yang terputus hubungan sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Menurut Chen Jie, bapa Fei dan datuknya ialah adik-beradik yang mana mereka berhijrah ke Taiwan bersama pasukan Kuomintang, sebelum penubuhan Republik Rakyat China pada 1949.

Datuk Chen Jie kemudian diambil sebagai anak angkat oleh pasangan bernama Chen, sekali gus menukar nama keluarganya.

Berdasarkan perbezaan usia dalam keluarga, Chen Jie sepatutnya memanggil Fei sebagai bapa saudara.

Dia kemudiannya berkongsi kisah itu dengan kira-kira 20 ahli keluarga besarnya.

Walaupun terputus hubungan selama berdekad-dekad, bapa Fei pernah mengirimkan surat kepada datuk Chen Jie pada 1991 bersama wang AS$200 (kira-kira RM888) yang dianggap bernilai tinggi ketika itu.

Surat berkenaan masih disimpan sehingga kini.

Walaupun bapa Fei dan datuk Chen Jie sudah meninggal dunia, lelaki itu menyifatkan pertemuan mereka sebagai takdir selain turut merancang ke Puyuan bulan depan untuk bertemu keluarga Chen.