SANAA – Kumpulan Houthi di Yaman yang disokong Iran mendakwa melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas kemudahan minyak Arab Saudi pada Sabtu, ketika pertempuran antara sekutu serantau Amerika Syarikat (AS) itu dan Iran semakin memuncak di satu lagi medan baharu.
Dalam kenyataan video, jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree berkata, kumpulan itu menyasarkan kemudahan yang dikendalikan gergasi minyak Saudi, Aramco di Jizan dan Yanbu, sambil mengancam akan memperluaskan tindak balas sekiranya diserang oleh kerajaan monarki Teluk itu.
Terdahulu, media Houthi melaporkan serangan ke atas Jizan telah mencetuskan kebakaran.
Rakaman video yang tular di media sosial dan disahkan AFP menunjukkan kepulan asap hitam menjulang dari sebuah loji penapisan milik Aramco di bandar itu.
Arab Saudi tidak mengulas secara langsung mengenai serangan berkenaan, namun pihak pertahanan awam negara itu mengeluarkan amaran kepada penduduk di Jizan, di pesisir barat daya negara itu, serta Yanbu di bahagian utara.
Menurut pejabat media Tentera Udara Greece, sistem pertahanan udara darat-ke-udara yang dikendalikan anggota Greece di Arab Saudi berjaya memintas dua peluru berpandu balistik dan kemudian sebuah dron yang dilancarkan dari Yaman ke arah Yanbu pada pagi Sabtu.
Kumpulan Houthi yang disokong Iran sebelum ini menuduh Arab Saudi yang merupakan sekutu AS melakukan peningkatan berbahaya selepas Riyadh melancarkan serangan ke atas sasaran Houthi di Yaman pada Jumaat.
Seorang sumber keselamatan Yaman memberitahu AFP bahawa pangkalan tentera laut di bandar pelabuhan Hodeida serta sebuah kem tentera di Pulau Kamaran antara sasaran serangan Arab Saudi.
Pertukaran serangan terbaharu antara sekutu AS dan Iran itu menandakan kemunculan satu lagi medan konflik dalam perang Asia Barat, susulan serangan AS dan Israel ke atas Iran pada penghujung Februari lalu.
Kembali diserang
Faiza, 36, ibu kepada dua anak yang menetap di Hodeida, berkata kepada AFP bahawa bunyi serangan itu seperti dentuman guruh yang kuat, sambil menjelaskan dia mendengar tiga letupan berasingan.
Houthi telah berperang dengan kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan disokong Arab Saudi sejak 2015, dalam konflik yang mengorbankan ratusan ribu nyawa serta mencetuskan krisis kemanusiaan yang serius.
Bagaimanapun, pertempuran di negara Semenanjung Arab yang miskin itu sebahagian besarnya terhenti sejak gencatan senjata yang dirunding Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2022.
Minggu ini, Houthi mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi, pengeksport minyak utama dunia, dengan menyasarkan kapal tangki Saudi di Laut Merah.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan, Teheran tidak boleh dipersalahkan terhadap situasi itu dan menawarkan bantuan untuk memulakan dialog antara Houthi dan Arab Saudi dengan menegaskan bahawa tiada penyelesaian ketenteraan terhadap isu itu.
Ancaman terhadap perkapalan itu berlaku serentak dengan sekatan Iran di Selat Hormuz, yang kini menjadi titik panas utama antara Teheran dan Washington susulan permusuhan baharu antara kedua-dua pihak.
Pengawal Revolusi Iran pada Sabtu memaklumkan, pihaknya menghalang empat kapal daripada melalui laluan strategik itu dalam tempoh 24 jam lalu.
Sementara itu, sebuah lagi insiden membabitkan sebuah kapal tangki minyak dan pasukan tentera yang tidak dikenal pasti dilaporkan berlaku berhampiran Selat Hormuz pada Sabtu, menurut agensi pemantau United Kingdom Maritime Trade Operations.
AS pula tidak mengumumkan sebarang serangan ke atas Iran, kali pertama selepas 13 malam berturut-turut melancarkan pengeboman.
Menurut laporan platform berita Axios, Pentagon telah membentangkan pelan kepada Presiden AS, Donald Trump untuk meneruskan serangan pada malam ke-14, namun Trump memutuskan untuk tidak meluluskannya, sebaliknya memilih untuk menghidupkan semula rundingan.
Titik penentu
Trump pada Jumaat berkata, beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan melancarkan semula operasi ketenteraan berskala besar terhadap Iran.
"Dengar, kami sedang bercakap dengan mereka sekarang. Saya fikir mereka semakin serius dari hari ke hari, mungkin atas sebab yang semua orang sudah tahu," katanya kepada wartawan.
Trump berkata, Iran mempunyai pilihan sama ada mencapai perjanjian atau berdepan serangan pada 'tahap yang jauh lebih tinggi', selepas dua minggu serangan AS memusnahkan gencatan senjata yang dicapai pada April.
Perang yang sebelum ini diramalkan Trump hanya akan berlangsung selama empat hingga lima minggu kini menghampiri bulan kelima dan mula menjejaskan kadar sokongan terhadap Presiden daripada Parti Republikan itu menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS yang penting pada November.
Beliau menambah bahawa masih belum mengetahui apakah titik penentu untuk membuat keputusan itu, namun menegaskan sekali lagi bahawa garis merahnya ialah jika Iran didapati hampir berjaya membangunkan senjata nuklear. - AFP