Sambutan luar biasa MAHA Pahang 2026

Iklan
Penganjuran MAHA Pahang 2026 di Dataran Raub, Dewan Jubli Perak dan Taman Tasik Raub menerima sambutan luar biasa. Foto: HALIM WAHID

RAUB - Penganjuran MAHA Pahang 2026 di Dataran Raub, Dewan Jubli Perak dan Taman Tasik Raub terus menerima sambutan luar biasa apabila lebih 75,000 pengunjung membanjiri lokasi ekspo itu sejak hari pertama ia dibuka sehingga Sabtu.

Suasana meriah jelas kelihatan di setiap lokasi penganjuran apabila orang ramai hadir bersama keluarga untuk menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan, selain mendapatkan produk pertanian, makanan dan hasil industri asas tani yang ditawarkan.

Iklan
Iklan

Rata-rata pengunjung menyifatkan MAHA Pahang 2026 sebagai antara penganjuran terbaik pernah diadakan di negeri itu kerana menawarkan pelbagai aktiviti menarik, susun atur program yang tersusun serta kemudahan yang memudahkan pergerakan pengunjung.

Pengunjung dari Temerloh, Hasmah Abdullah, 43, berkata, program kali ini sangat padat dengan pelbagai pengisian yang sesuai untuk semua peringkat umur dan kagum dengan kemeriahan penganjuran MAHA di Raub.

Iklan

"Suasana sangat meriah, banyak aktiviti menarik disediakan seperti pameran haiwan, pertandingan dan cabutan bertuah untuk anak-anak.

"Tempoh penganjuran tiga hingga empat hari terutamanya pada hujung minggu amat berbaloi untuk dikunjungi pelawat yang bekerja," katanya sambil berharap program ini dapat diadakan di lebih banyak lokasi sekitar Pahang pada masa depan.

Iklan

Pesara kerajaan dari Raub yang juga pengusaha kebun durian Musang King, Abas Imam Hussain, 72, pula mengakui penganjuran kali ini adalah yang terbaik pernah dikunjunginya.

"Pelbagai jualan produk pertanian yang belum pernah saya temui ada dijual di sini, terutamanya jualan anak pokok dan hasil buah-buahan.

"Bahagian pameran penternakan di ruang bawah menjadi lokasi kegemaran saya," ujarnya.

Pengunjung dari Cameron Highlands, Nur Fazry Mat Nor, 35, pula berkata, MAHA Pahang 2026 bukan sahaja menjadi lokasi membeli-belah, malah memberi peluang kepada masyarakat mengenali lebih dekat sektor pertanian moden.

Selain membeli-belah, pengunjung turut meluangkan masa mengikuti pelbagai aktiviti yang disediakan termasuk Uji Rasa Daging Wagyu, Pesta Buah Tempatan serta tarikan di Happy Rabbit Farm & Duckling Wonderland yang menjadi antara lokasi paling mendapat perhatian.

Edaran anak pokok kelapa secara percuma, program Fun Walk dan cabutan bertuah turut menerima sambutan menggalakkan apabila disertai pengunjung dari pelbagai daerah di Pahang.

Dalam masa sama, peserta pameran dan usahawan tempatan turut menyifatkan MAHA Pahang 2026 sebagai platform terbaik untuk memperluaskan pasaran serta memperkenalkan produk masing-masing kepada pengguna.

Bagi usahawan, Mujahid Che Hamid, 43, sambutan pengunjung yang berterusan sepanjang penganjuran memberi impak positif kepada jualan sehingga beberapa produk habis dijual lebih awal daripada jangkaan.

MAHA Pahang 2026 bukan sekadar ekspo pertanian, malah platform yang memberi manfaat kepada pengunjung, usahawan dan komuniti. Foto: HALIM WAHID

Beliau menyatakan rasa puas hati terhadap kejayaan penganjuran kali ini yang memberi ruang khusus kepada peniaga tempatan mempromosi produk Pahang.

Beliau berkata, syarikatnya, Mumtaz Iman Sdn Bhd yang terlibat secara menyeluruh dalam industri padi dan beras bermula dari peringkat sawah, kilang hingga pembungkusan, telah membawa produk beras tempatan seperti beras basmati, pulut, beras putih serta beras Budu yang ditanam di Kampung Budu, Benta dekat Lipis.

"Dalam tempoh dua hari sahaja, sebanyak tujuh tan beras yang dibawakan telah terjual hingga berbaki satu tan lebih. Pihak kami terpaksa membuat penambahan stok beras bagi menampung permintaan pengguna yang sangat tinggi," katanya.

Beliau berharap acara seumpama ini diteruskan pada masa akan datang bagi membantu usahawan Pahang memperkenalkan produk keluaran mereka secara terus kepada pengguna.

Seorang lagi usahawan tani di bawah syarikat Profigs Jengka, Nur Ain Balqis Zulkifli, 26, berkata, MAHA Pahang 2026 menjadi platform terbaik dalam meluaskan pasaran serta membina rangkaian kerjasama dengan usahawan lain dan pembeli luar.

"Program ini bukan sahaja membantu meningkatkan jualan, malah menjadi platform untuk kami bertemu bakal rakan perniagaan dan memperluaskan rangkaian pemasaran produk," tambahnya.

Sementara itu, bagi peniaga di tapak jualan My Kiosk, Noraziah Samsuri, 44, yang turut menerima tempias dari penganjuran MAHA di Raub berkata, kehadiran orang ramai yang tidak putus-putus sepanjang program membuktikan MAHA Pahang terus menjadi platform penting bagi mempromosikan hasil pertanian dan produk tempatan.

"Sudah tentu bagi peniaga mereka berharap penganjuran seumpama itu diteruskan pada masa hadapan kerana bukan sahaja membantu meningkatkan hasil jualan, malah membuka peluang kepada usahawan kecil untuk terlibat sama," katanya yang menjual aneka jenis sup.

Kejayaan penganjuran MAHA Pahang 2026 turut membuktikan tema Agro Lestari, Bina Negeri berjaya diterjemahkan menerusi pelbagai pengisian yang mendekatkan masyarakat dengan sektor pertanian moden serta kepentingan keterjaminan makanan negara.

Gabungan aktiviti berbentuk pendidikan, riadah, pameran teknologi, jualan produk tempatan dan peluang perniagaan menjadikan MAHA Pahang 2026 bukan sekadar ekspo pertanian, malah platform yang memberi manfaat kepada pengunjung, usahawan dan komuniti.

Dengan sambutan luar biasa daripada orang ramai serta maklum balas positif daripada peserta pameran dan usahawan, MAHA Pahang 2026 dilihat berjaya meninggalkan impak yang amat positif serta berpotensi menjadi penanda aras baharu bagi penganjuran acara pertanian berprestij di Pahang.