'Kami tidak sanggup berpisah' – Tiga beradik pilih kahwini lelaki sama

Iklan
Tiga beradik perempuan dari Amroha, Uttar Pradesh mencuri perhatian selepas berkahwin dengan seorang jurukamera dikenali sebagai Vikas, dalam satu majlis yang mengundang pelbagai reaksi di media sosial.- Foto tular Hindustan Times

NEW DELHI – Tiga beradik perempuan di daerah Amroha, Uttar Pradesh mencetuskan kontroversi apabila mengambil keputusan berkahwin dengan lelaki yang sama kerana tidak sanggup dipisahkan selepas mendirikan rumah tangga.

Saroj, 20, Savitri, 19, dan Santosh, 18, yang merupakan pencipta kandungan media sosial dari Kampung Dhauriya di Hasanpur, dilaporkan mengahwini jurukamera mereka, Vikas, dalam satu upacara di Kuil Chamunda Mata pada 17 Julai lalu.

Iklan
Iklan

Rakaman majlis tersebut mula tular pada Rabu, sekali gus mengundang pelbagai reaksi termasuk bantahan daripada beberapa pertubuhan Hindu.

Dalam video berkenaan, Vikas dilihat menyapukan sindoor atau serbuk merah pada dahi setiap pengantin perempuan selepas mereka selesai menjalani upacara perkahwinan mengikut adat Hindu.

Iklan

Tiada ahli keluarga daripada kedua-dua pihak dilihat menghadiri majlis tersebut.

Menjelaskan keputusan luar biasa itu, Saroj berkata, mereka bertiga membesar bersama sejak kecil dan tidak dapat menerima hakikat bahawa perkahwinan akan memisahkan mereka.

Iklan

"Kami sentiasa bersama sejak kecil dan tidak dapat membayangkan hidup berjauhan. Apabila mengetahui keluarga mahu mengahwinkan kami dengan lelaki berbeza, kami sangat tertekan sehingga pernah terfikir untuk menamatkan riwayat hidup.

"Akhirnya kami memutuskan lebih baik berkahwin dengan lelaki yang sama supaya dapat terus bersama. Kami semua sudah dewasa dan membuat keputusan ini secara sukarela," katanya.

Menurut tiga beradik itu, Vikas telah bekerja sebagai jurukamera mereka sejak enam bulan lalu dan sering melakonkan watak suami dalam kandungan media sosial yang dihasilkan bersama.

Vikas berkata, beliau memahami hubungan rapat antara tiga beradik itu dan bersetuju menerima lamaran mereka demi memastikan mereka tidak dipisahkan.

"Saya tahu mereka sangat rapat dan berkali-kali menyatakan tidak mahu hidup berasingan selepas berkahwin.

"Saya menghormati perasaan mereka dan bersetuju kerana mahu mereka terus bersama. Kami membuat keputusan ini atas persetujuan bersama dan berharap orang ramai menghormatinya," katanya.

Susulan kritikan yang diterima, tiga beradik itu turut memuat naik satu lagi video mempertahankan tindakan mereka.

Mereka merujuk kepada Raja Dasharatha dalam epik Hindu Ramayana yang mempunyai tiga permaisuri, sambil mempersoalkan mengapa tindakan tersebut dipertikaikan pada masa kini.

"Kami tidak melakukan sebarang kesalahan. Kami semua sudah dewasa dan membuat pilihan sendiri," kata mereka.

Bagaimanapun, peguam Mahkamah Tinggi Allahabad, Anurag Pandey berkata, perkahwinan tersebut tidak mempunyai pengiktirafan undang-undang di bawah Akta Perkahwinan Hindu.

Menurutnya, undang-undang Hindu tidak membenarkan seorang lelaki berkahwin dengan lebih daripada seorang wanita pada masa yang sama, sekali gus menjadikan perkahwinan itu terbatal dan tidak mewujudkan hubungan perkahwinan yang sah.

Sementara itu, pengurus Kuil Chamunda Mata, Dr Shivcharan Das berkata, tiada sami berada di lokasi ketika upacara tersebut berlangsung kerana kuil berkenaan sedang menjalani kerja pengubahsuaian.

Pegawai Polis Hasanpur, Pankaj Tyagi berkata, pihaknya telah mengambil keterangan daripada keempat-empat individu terbabit serta keluarga masing-masing selepas video berkenaan tular.

"Mereka memaklumkan bahawa semua pihak sudah dewasa dan menjalankan upacara itu atas kerelaan sendiri. Setakat ini tiada sebarang laporan polis diterima dan ibu bapa mereka juga tidak membantah keputusan tersebut.

"Jika laporan dibuat atau terdapat sebarang kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut undang-undang, siasatan serta tindakan sewajarnya akan dijalankan," katanya.

Walaupun beberapa pertubuhan Hindu tempatan membantah perkahwinan itu kerana didakwa bertentangan dengan norma agama dan masyarakat, sehingga kini tiada sebarang aduan rasmi dikemukakan kepada pihak berkuasa. - Agensi