KUALA PILAH – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan kerajaan Negeri Sembilan akan terus seiring dengan Kerajaan Persekutuan sekiranya gabungan itu diberi mandat mentadbir negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) berkenaan.
Menurut beliau, sekiranya BN berjaya mengambil alih pentadbiran Negeri Sembilan, kerajaan negeri yang baharu akan terus menjalin kerjasama erat dan selaras dengan Kerajaan Persekutuan.
"Saya memberi jaminan jika ditakdirkan ALLAH, kita tukar kerajaan Negeri Sembilan ini supaya lebih efisien, lebih berkesan dan saya akan pastikan kerajaan 'biru' terus memberi kerjasama dan selari dengan kerajaan Pusat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Salam Agrikomoditi di Dataran Melang di sini pada Sabtu.
Timbalan Perdana Menteri itu sekali lagi menegaskan bahawa gelombang biru yang bermula di Johor dan kini sedang merebak ke Negeri Sembilan bukan bermakna wujud sebarang perancangan untuk melakukan 'tebuk atap' terhadap Kerajaan Persekutuan.
"Kita tiada hasrat untuk 'tebuk atap', kita mendukung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga akhir penggal.
"Oleh sebab itu, kerajaan Pusat kita sokong, tapi kerajaan Negeri Sembilan kita tukar. Tapi itu bukan bermaksud kita benci, tapi mahu kerajaan negeri ini ditadbir oleh BN dengan lebih baik lagi," katanya.
Ahmad Zahid berkata, gesaan beliau supaya rakyat negeri ini menukar kerajaan negeri bukan bermakna beliau tidak menyukai Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, malah menyifatkannya sebagai seorang pemimpin yang baik.
"Dia pun macam keluarga saya juga. Tapi ini lain. Soal darah, soal satu kapal, soal lain. Tapi kita mahu Negeri Sembilan ini menjadi negeri lebih baik.
"Sebab itu saya mohon kepada rakyat Negeri Sembilan agar memberikan peluang kepada BN untuk mentadbir negeri ini demi membawa perubahan yang lebih baik," katanya.