PM yakin Jemaah Menteri setuju dedah RCI Tabung Haji kepada umum

Iklan
Anwar (tengah) menghadiri Majlis Penutup Minggu Latihan Kebangsaan 2026 di UiTM, Permatang Pauh pada Sabtu.

PERMATANG PAUH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Jemaah Menteri akan memberi persetujuan untuk menzahirkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) kepada umum selepas perkara itu dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Rabu ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak mempunyai sebarang halangan untuk mendedahkan laporan berkenaan kepada orang ramai, namun ia perlu melalui proses dan mendapat kelulusan Jemaah Menteri terlebih dahulu.

Iklan
Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: RCI Tabung Haji: Nyahklasifikasi laporan lengkap segera, elak terus jadi modal fitnah – Mujahid

Kerajaan sepatutnya dedah laporan RCI Tabung Haji lebih awal - Rafizi

Iklan

RCI Tabung Haji: Jangan lindungi sesiapa jika terbukti bersalah - Asyraf Wajdi

"Tetapi ikut proses. Bila saya bawa kepada Jemaah Menteri hari Rabu ini, saya percaya Jemaah Menteri akan setuju,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penutup Minggu Latihan Kebangsaan 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini pada Sabtu.

Iklan

Terdahulu, Anwar dilaporkan berkata, RCI berkaitan TH tidak diterbitkan tiga tahun lalu kerana kerajaan mahu mengelakkan rakyat daripada hilang keyakinan terhadap agensi berkenaan.

Anwar  berkata, pendedahan laporan berkenaan pada ketika itu dikhuatiri boleh mencetuskan panik dalam kalangan pendeposit sehingga menyebabkan pengeluaran dana secara beramai-ramai yang berisiko melumpuhkan TH.

Dalam pada itu, tambah beliau sebelum ini kerajaan menangguhkan pendedahan laporan berkenaan bagi memberi ruang kepada pihak TH melaksanakan penambahbaikan di bawah pengurusan baharu.

“Kalau terlalu awal didedahkan dahulu, kita bimbang orang tidak ada keyakinan terhadap Tabung Haji. Hari ini Tabung Haji sudah berbeza,” katanya.

Beliau menambah, perubahan yang dilaksanakan berjaya meningkatkan reputasi TH di peringkat antarabangsa sehingga menerima pengiktirafan sebagai antara institusi pengurusan haji terbaik di dunia.

"Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman turut mengucapkan tahniah kepada saya (Malaysia) susulan pencapaian tersebut," ujarnya.

Pada Khamis, Anwar berkata, kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan terhadap dakwaan penjualan aset strategik agensi itu.

Anwar berkata, beliau akan meneliti keputusan untuk menerbitkan laporan itu bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.