IPOH – “Saya sempat tengok keadaan dia, masih memakai baju PJ (pendidikan jasmani), pakaian sama sepertimana saya hantar ke sekolah tadi.”
Demikian luahan pilu seorang ibu selepas anak perempuannya berusia 14 tahun ditemui maut bersama rakan baiknya berhampiran sebuah flat kosong di Buntong di sini pada Jumaat.
Ibu mangsa yang mahu dikenali sebagai Seela, 36, berkata, dia menghantar anaknya bersama rakannya ke sekolah dari kediaman mereka di Menglembu kira-kira jam 1 petang.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua pelajar perempuan ditemukan maut
Tiada penglibatan pihak lain, mangsa sukarela tinggalkan kawasan sekolah - Polis
'Anak saya masih pakai baju PJ sama seperti hantar ke sekolah' - Ibu pelajar maut
Namun sekitar jam 4.50 petang, katanya, dia menerima satu panggilan memaklumkan anaknya berada di kawasan perumahan kosong berkenaan.
Menurut Seela, anak kedua daripada tiga beradik itu tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan sikap atau mengadu menghadapi masalah di sekolah.
"Selama ini, pergi dan balik sekolah, saya yang hantar dan jemput setiap hari. Tak sangka perkara begini boleh berlaku terhadap anak saya," katanya.
Dalam kejadian itu, dua pelajar perempuan berusia 14 tahun yang merupakan rakan baik ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat atas bangunan perumahan kosong tersebut.
Kejadian disedari seorang pengawal keselamatan yang sedang melakukan rondaan sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Difahamkan, kedua-dua mangsa bersekolah di sekolah yang sama di Ipoh dan mengikuti sesi pembelajaran pada sebelah petang.
Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk proses bedah siasat selepas pasukan forensik selesai menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
...................................................................................
Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)