SEREMBAN - Mana-mana pihak tidak sepatutnya menjadikan isu pencerobohan tanah kerajaan di beberapa kampung di Seremban sebagai modal politik, lebih-lebih lagi semasa tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara tersebut telah ditangani sebaik mungkin dengan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk penduduk rumah setinggan di kawasan berkenaan dan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Menurutnya, hasil perbincangan turut mencadangkan beberapa penyelesaian, antaranya merobohkan rumah lama dan menawarkan kediaman baharu mampu milik ‘Type A’ setiap keluarga terlibat supaya mereka dapat mendiami rumah lebih selesa.
“Tetapi saya agak terkilan kerana isu ini cuba dipermainkan dan digunakan sebagai modal menyentuh soal perkauman kerana selain Melayu, ada sebilangan kaum India juga di dalam kampung tersebut.
“Bagi saya, pihak yang tidak bertanggungjawab ini perlu lihat dan faham dahulu apa sebenarnya berlaku sebelum menyerang saya. Jangan tuduh dan tuding jari sahaja,” katanya kepada Sinar Harian selepas berkempen di Kampung Pengkalan Durian, Linggi di sini pada Jumaat.
Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menjelaskan, rumah setinggan berstatus menceroboh tanah rizab kerajaan negeri itu telah lama wujud dan isu itu berlarutan sekian lama sebelum pentadbiran PH lagi.
Menurutnya, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan PH untuk menyelesaikan isu yang telah lama membelenggu penduduk setempat.
“Sepatutnya berterima kasih kerana kita menyelesaikannya. Kita beri rumah supaya mereka tidak mengganggu hak orang lain tetapi pembangkang asyik sebut DAP, DAP, DAP, bila mahu selesaikan masalah ini?
“Pada masa sama, saya tak faham bagaimana surat ini boleh bocor kepada umum dan digunakan sebagai isu, seolah-olah sudah tiada isu lain untuk dibawa,” ujarnya.