'Utamakan buahan tempatan, kurangkan import RM7.5 bilion' - Izham

Iklan
Izham (tengah) melakukan gimik perasmian semaa Majlis Majlis Perasmian Festival Buah-buahan Tempatan Selangor di Aneka Walk, Seksyen 13, di sini pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menggesa rakyat mengutamakan pembelian buah-buahan tempatan bagi membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap import buah-buahan dan sayur-sayuran yang kini mencecah kira-kira RM7.5 bilion setahun.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim berkata, usaha itu bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan petani tempatan, malah mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan negara.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, masyarakat juga digalakkan menjadikan buah-buahan tempatan sebagai pilihan termasuk dijadikan buah tangan atau bakul hadiah bagi menyokong hasil keluaran usahawan tempatan.

"Kalau kita boleh kurangkan pergantungan itu dengan memilih buah tempatan, ia banyak membantu meningkatkan jualan hasil pertanian negara," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Festival Buah-buahan Tempatan Selangor di Aneka Walk, Seksyen 13 di sini pada Jumaat.

Festival selama tiga hari bermula pada Jumaat hingga Ahad itu menghimpunkan kira-kira 40 tan buah-buahan membabitkan 15 jenis hasil tempatan termasuk durian, manggis, rambutan, nanas dan jambu.

Iklan

Izham memberitahu, kebanyakan buah yang dipasarkan adalah hasil keluaran usahawan Selangor, selain sebahagian kecil dibawa masuk dari negeri lain bagi memenuhi permintaan pengunjung.

Mengulas mengenai fenomena cuaca panas, Izham berkata, setakat ini pengeluaran buah-buahan dan hasil pertanian di Selangor masih terkawal kerana bekalan air mencukupi dengan paras tujuh empangan kekal melebihi 85 peratus.

"Kerajaan negeri akan terus memantau paras sungai dan bekalan air bagi memastikan sektor pertanian tidak terjejas sekiranya cuaca panas berpanjangan," tambah beliau.