Kes Projek Terowong: Kerajaan Pulau Pinang alami kerugian beri tanah kepada CZBUCG

Iklan
Guan Eng hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagi sambung bicara kes rasuah yang dihadapinya berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalami kerugian, selepas memberikan satu lot tanah kepada syarikat pemaju sebagai bayaran bagi kajian kebolehlaksanaan projek tiga jalan utama dan terowong dasar laut.

Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zulhilmi Ramli, 34, berkata pembayaran itu, bagi menjelaskan tuntutan RM135 juta yang dibuat menerusi pemindahan lot tanah 702 milik kerajaan negeri kepada Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG).

Iklan
Iklan

Saksi pendakwaan ke-38 itu berkata demikian ketika disoal balas peguam Mohd Haijan Omar mewakili Lim Guan Eng, pada perbicaraan kes rasuah dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berhubung projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion.

Mohd Haijan: Berapa banyak jumlah tuntutan akhir yang dibuat CZBUCG bagi menuntut bayaran secara"land swap” bagi lot 702?

Iklan

Zulhilmi: Untuk kali terakhir ialah RM138 juta.

Zulhilmi bersetuju dengan Mohd Haijan bahawa jumlah tuntutan yang dibuat CZBUCG ialah RM138 juta, namun lot tanah 702 hanya bernilai RM135 juta.

Iklan

Mohd Haijan: Kerajaan negeri telah membayar kerja-kerja dilakukan oleh CZBUCG dengan bayaran dibuat melalui"land swap” berjumlah RM135 juta, setuju?

Zulhimi: Setuju.

Mohd Haijan: Berdasarkan keterangan Tuan Zul (Zulhilmi) kerja-kerja telah dijalankan, diperakukan oleh HSSI Integrated Sdn Bhd (perunding teknikal bebas) dan lot 702 boleh dibayar untuk tujuan tersebut, jadi kerajaan negeri tidak mengalami kerugian untuk pembayaran menerusi pemberian lot 702?

Zulhilmi: Saya tidak setuju.

Guan Eng, 65, didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta.

Ia dilakukan dengan membantu syarikat milik bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, dilantik melaksanakan projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 hingga Ogos 2017, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang

Bagi pertuduhan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 3 Ogos depan. - Bernama

 

 

 

 

TAG: m