KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu terdapat transaksi pemindahan wang RM20.3 juta dari Permodalan Nasional Berhad (PNB) ke Syarikat Fashion Valet Sdn Bhd.
Penolong Pengurus Maybank, Cawangan Jalan Tun Razak, Shamsiah Musa, 55, berkata, dua transaksi pemindahan wang itu dibuat pada 4 Jun 2018 dan 20 Disember 2018.
"Saya telah menyemak semua penyata akaun bagi setiap bulan untuk 2018 dan saya sahkan hanya terdapat dua transaksi pemindahan wang dari akaun Malayan Banking Berhad milik PNB ke akaun Public Bank milik Fashion Valet Sdn Bhd," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari kedua perbicaraan kes pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar yang berdepan pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan PNB berjumlah RM8 juta.
Dirujuk penyata akaun PNB, saksi pendakwaan kedua itu mengesahkan transaksi pemindahan wang RM11,953,509 pada 4 Jun 2018 dan RM8,365,001 pada 20 Disember 2018.
Berhubung maklumat atau nota menunjukkan alasan atau tujuan transaksi pemindahan wang tersebut, Shamsiah berkata beliau tidak dapat mengesahkan perkara itu kerana tidak mempunyai akses kepada transaksi yang melebihi tempoh enam bulan dan semakan hanya boleh dibuat berdasarkan penyata bank tersedia.
Disoal peguam Datuk M Athimulan mewakili pasangan suami isteri itu mengenai transaksi lebih RM20 juta berkenaan, Shamsiah berkata, tiada pembekuan atau sekatan daripada pihak PNB selain mengesahkan transaksi yang dilakukan adalah sah dan telus.
Athimulan: Semasa pihak bank menerima dana daripada PNB, adakah PNB memberikan sebarang arahan supaya penggunaan wang tersebut dibekukan atau disekat?
Shamsiah: Tiada.
Athimulan: Berdasarkan rekod bank, semua transaksi berhubung dana PNB itu telah diproses secara sah, telus dan mematuhi piawaian serta prosedur perbankan?
Shamsiah: Setuju.
Saksi itu juga bersetuju dengan peguam bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan atau akses kepada terma perjanjian antara PNB dengan Fashion Valet.
Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 38, dan Fadzarudin, 37, didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah FashionValet Sdn Bhd melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat FashionValet kepada syarikat 30 Maple tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat FashionValet.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mereka juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu dengan niat bersama secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik FashionValet iaitu dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta, di lokasi dan tarikh sama.
Pasangan suami isteri itu dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebat dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung 17 Ogos ini. - Bernama