KUALA LUMPUR - Hasil siasatan berhubung insiden letupan grenad di Kem Hobart, Gurun, Kedah, bulan lepas mendapati tuas keselamatan bahan letupan itu, dipercayai telah terlepas sebelum balingan sempat disempurnakan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rumusan itu, dibuat berdasarkan kedudukan letupan, bukti di lokasi kejadian serta analisis corak kecederaan yang dialami kedua-dua mangsa.
Beliau berkata dapatan Lembaga Siasatan (BOI) menunjukkan, grenad berkenaan mula berfungsi sebelum sempat dibaling dan meletup ketika masih berada berhampiran bahagian atas kedua-dua anggota terbabit.
"Siasatan mendapati pembaling mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan tangan kanan, manakala pengasuh mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala, badan dan anggota sebelah kiri. Corak kecederaan ini selaras dengan dapatan letupan berkenaan.
"Walau bagaimanapun, ketiadaan saksi yang melihat kejadian secara langsung, menyebabkan pihak penyiasat tidak dapat memastikan pada ketika mana tuas keselamatan itu terlepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tragedi yang berlaku pada 16 Jun lepas itu mengorbankan dua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ketika menjalani latihan membaling grenad di kem berkenaan.
Mohamed Khaled berkata proses siasatan dijalankan secara menyeluruh menerusi beberapa peringkat pemerintahan Tentera Darat, sejurus BOI ditubuhkan pada 17 Jun bagi memastikan aspek teknikal, pematuhan prosedur serta keterangan saksi diteliti sepenuhnya.
"Mengikut tatacara latihan, grenad diselenggara secara berperingkat dengan beberapa lapisan keselamatan seperti klip, pin dan tuas keselamatan. Bahan letupan itu hanya akan mula berfungsi apabila tuas keselamatan dilepaskan daripada badannya dan akan meletup dalam tempoh kira-kira lima saat,” katanya.
Susulan dapatan itu, Mohamed Khaled menegaskan Kementerian Pertahanan dan ATM akan memperkukuh prosedur keselamatan, tatacara pengendalian grenad, tahap pengawasan serta pelaksanaan latihan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu daripada berulang.
"Keselamatan setiap anggota sentiasa menjadi keutamaan. Tiada kompromi dalam memastikan semua latihan dilaksanakan dengan tahap pematuhan, pengawasan dan keselamatan yang tertinggi,” katanya. - Bernama